'Aidilfitri terasa seperti hari biasa'

KOTA BHARU - Membesar tanpa ayah disisi membuatkan dua beradik Taufiq Abdul Rashid, 12, dan adiknya Naufal, 10, beranggapan sambutan Aidilfitri tidak ubah seperti hari-hari 'biasa'.
Bukan itu sahaja, kedua-dua beradik ini turut terpisah lebih 300 kilometer daripada ibu mereka yang berada di Kedah membuatkan hari 'kemenangan' itu menjadi 'kosong'.
Ketika ini, dua beradik itu menumpang kasih di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (PEKA Yatim) Desa Rahmat Panji di sini.
"Setiap tahun saya dan adik hanya menunggu sumbangan baju raya daripada mereka yang sudi.
"Kami sangat seronok jika diberi peluang memilih sendiri baju Melayu, songkok dan samping.

"Dapat kami pilih warna kegemaran selain menikmati sendiri suasana membeli-belah kelengkapan hari raya bersama rakan-rakan yang lain," katanya pada Sabtu.
Dua beradik ini merupakan antara 120 peserta Program Shopping Raya anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Pasar Raya Mydin di sini.
Kesedihan sama turut dirasai Ruhana Rahim, 48, dari Banggol, Pantai Cahaya Bulan, yang buat pertama kali menyiapkan raya seorang diri selepas suami meninggal dunia akibat kanser hati pada Oktober tahun lalu.
“Selama ini arwah yang uruskan semuanya baik baju raya, juadah, persiapan Aidilfitri termasuk kelengkapan anak. Kali ini saya yang ambil alih.
"Bila terkenang kenangan bersama, memang terasa kosong dan sebak,” katanya.
Perasaan kehilangan itu juga dikongsi Fatimah Mat Nasir, 50, dari Kubang Kerian, yang membesarkan anak tunggalnya, Ahmad Danish Daniel Azman, 8, seorang diri selepas kematian suami akibat sakit buah pinggang pada 2022.
“Paling sedih bila melihat anak membesar tanpa kasih seorang ayah. Tapi Alhamdulillah, setiap kali Ramadan dan Syawal, kami diraikan insan berhati mulia.

"Ia sedikit sebanyak meringankan beban dan mengembalikan senyuman anak,” katanya.
Sementara itu, Presiden POKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, Program Shopping Raya POKB-PEKEMA 2026 adalah inisiatif kebajikan untuk memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir sambutan Aidilfitri.
“Selain meringankan beban, program ini juga mengukuhkan semangat kebersamaan dan solidariti masyarakat.
"Walau tanpa ayah, anak-anak ini tetap diraikan, dan kasih sayang orang ramai menjadi pengganti sementara yang amat bermakna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

