X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Perak belum muktamad keputusan jual air kepada Pulau Pinang

Saarani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara wakil PPPNP dan PPN Perak pada majlis yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai penjualan air di negeri itu kepada Pulau Pinang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya masih meneliti beberapa perkara berhubung permintaan kerajaan Pulau Pinang untuk membeli air dari negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan rasmi mahupun perjanjian persefahaman (MoU) dibuat mengenai perkara itu walaupun hasrat tersebut telah dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam pertemuan secara tidak rasmi sebelum ini.

"Saya sudah beri jawapan bahawa dia tidak boleh ambil air dari atas empangan sebab ia akan mengganggu kestabilan aliran air untuk penjanaan 'turbine' bagi jana kuasa elektrik

"(Mungkin) boleh ambil dari bawah Empangan Chenderoh tetapi kita menerima maklumat bahawa penggunaan air untuk domestik di Perak pun masih tidak mencukupi, khususnya di utara Perak iaitu di Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping," katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara Perbandanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) Bersama Risda Livestock Sdn Bhd (RLSB) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak.

Menurutnya, malah ada waktu tertentu keperluan air untuk kawasan penanaman padi di Bagan Serai juga tidak mencukupi kerana tidak dapat ditampung oleh air dari Tasik Bukit Merah.

Saarani berkata, sekiranya kerajaan negeri membuat keputusan menjual air tersebut, dibimbangi keperluan air untuk domestik akan terjejas.

"Kita mesti memberikan keutamaan kepada keperluan penggunaan domestik, bermakna kita tidak boleh mengambil jalan mudah jual air keluar, nanti orang Perak marah. Jadi belum ada apa-apa perjanjian

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berlangsung pada Khamis memaklumkan bahawa kerajaan Pulau Pinang masih menunggu maklum balas dari kerajaan Pusat berhubung hasrat negeri itu membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober tahun lalu kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan, namun belum mendapat sebarang maklum balas.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!