Malaysia, Korea Selatan berentap separuh akhir

Jun Hao - Foto BAM
Jun Hao - Foto BAM
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2022, apabila menewaskan Jepun 3-2 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, pada Jumaat.

Mata kemenangan negara diperolehi daripada pemain perseorangan ketiga, Leong Jun Hao yang menewaskan Moriguchi Koshiro, 21-18, 21-16.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad badminton negara muncul juara Kumpulan B dan bakal berdepan Korea Selatan pada aksi separuh akhir pada Sabtu.

Pada aksi terakhir Kumpulan B itu, skuad badminton negara bermula cemerlang apabila juara Seluruh England, Lee Zii Jia menewaskan Riku Hatano 15-21, 21-6, 21-15.

Biarpun tewas pada set pertama, namun jaguh perseorangan negara itu berjaya bangkit pada dua set berikutnya bagi memberikan mata pertama buat skuad negara.

Kemenangan Zii Jia bagaimanapun gagal diteruskan gandingan beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tewas 21-23, 16-21 kepada gandingan Jepun, Endo Ayato-Takei Yuta.

Setelah memberikan saingan sengit pada set pertama, aksi Aaron-Wooi Yik dilihat mulai goyah pada set kedua selain melakukan banyak kesilapan sebelum tewas 16-21.

Perseorangan kedua negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin bagaimanapun mula memberikan harapan buat skuad negara apabila memenangi set pertama 21-19 ketika berdepan Takashi Koo.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, persembahan Aidil Sholeh dilihat mula goyah pada set kedua dan kesempatan berkenaan dimanfaatkan Takashi untuk menang 21-16 sebelum meneruskan kemenangan 21-15 pada set ketiga untuk mata kedua Jepun.

Beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagaimanapun kembali memberikan harapan buat skuad negara apabila menewaskan Mezaki Shuntaro-Nishida Haruya 17-21 21-17 21-17.

Biarpun tewas pada set pertama, namun Sze Fei-Nur Izzuddin dilihat menggunakan segala pengalaman yang dimiliki bagi menewaskan Shuntaro-Haruya sebelum Jun Hao melengkapkan kemenangan skuad negara pada aksi perseorangan ketiga.

Untuk rekod, kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengesahkan slot beraksi dalam saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, skuad wanita negara yang telah mengesahkan slot ke separuh akhir lebih awal, turut berdepan Korea Selatan pada aksi separuh akhir juga pada Sabtu.