Jepun teruskan pelepasan air radioaktif - Korea Selatan

Penduduk Korea Selatan berhimpun melakukan protes terhadap tindakan Jepun. - Foto AP
Penduduk Korea Selatan berhimpun melakukan protes terhadap tindakan Jepun. - Foto AP
A
A
A

SEOUL - Pelepasan air tercemar oleh Jepun dari loji nuklear Fukushima yang musnah telah dijalankan secara stabil dan seperti yang dirancang, tanpa sebarang kelainan dikesan setakat ini, kata seorang pegawai Korea Selatan pada Jumaat.

Tokyo memulakan pelepasan air tercemar sehari lebih awal, satu proses yang dijangka berlarutan lebih tiga dekad, walaupun terdapat kebimbangan kesihatan dan alam sekitar dari negara jiran.

"Setakat ini, proses pelepasan berjalan dengan stabil seperti yang dirancang pada asalnya, dan difahamkan bahawa tiada situasi yang tidak normal," Agensi Berita Yonhap memetik timbalan ketua pertama Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Park Ku Yeon sebagai berkata semasa taklimat harian mengenai isu Fukushima.

Park turut menekankan kerajaan Seoul sedang memantau dan menganalisis secara menyeluruh proses pelepasan air laut antara pihak berkuasa kawal selia dan diplomatik kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju untuk segera berkongsi maklumat sekiranya berlaku situasi tidak normal di kemudahan pelepasan itu.

"Kerajaan akan mengambil langkah terbaik untuk meneruskan pemantauan supaya tidak ada kesan terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat," kata Park. - Bernama.