Bekas pembantu AADK terima rasuah didenda RM10,000

Erwan yang bertongkat ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
Erwan yang bertongkat ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas pembantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM3,000 enam tahun lalu.

Tertuduh, Erwan Yahya, 46, yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menetapkan hukuman terbabit setelah mendengar hujah daripada peguam, Alias Ibrahim dan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan pertama, Erwan didakwa menerima wang tunai RM3,000 dengan tiada balasan daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi pada 7 Disember 2016 kira-kira jam 5.30 petang di dalam kereta jenis Proton Iswara ketika melalui deretan kedai di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

Dengan itu, Erwan dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama Norzarenawati Osman, 39, pada 7 Disember 2016 jam 3 petang bertempat di rumah kosong beralamat No 1978, Lorong 1/17 Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani secara bersama setuju menerima suapan bernilai RM3,000 daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki lain yang positif dadah jenis syabu dalam ujian saringan awal air kencing.

Dengan itu, Erwan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya sabit kesalahan Erwan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagaimanapun pertuduhan pilihan kedua itu diputuskan sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) oleh mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam proses mitigasi, Alias memaklumkan Erwan sudah insaf dan kini hanya bekerja sendiri selain turut menghidap penyakit kencing manis kronik.

Tertuduh dan ahli keluarga juga terlibat dalam satu kemalangan pada 8 Februari lalu yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan serius dan bertongkat.