Jangan kait keganasan dengan sukan

Dr Mohamed Fadzli (tengah) bersama pemenang perlawanan PUBG yang pertama kali dianjurkan di negara ini.
Dr Mohamed Fadzli (tengah) bersama pemenang perlawanan PUBG yang pertama kali dianjurkan di negara ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta masyarakat supaya tidak mengaitkan sentimen keganasan yang berlaku dengan mana-mana sukan terutama elektronik (e-sukan).

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keganasan yang berlaku seperti pembunuhan dengan menggunakan senjata bukan disebabkan sukan.

“Tidak boleh nak kaitkan kerana itu sentimen lain, itu soal 'terrorism' dan kegananasan. Soal bunuh orang ini, tiada senapang, kalau nak bunuh orang ni, boleh bunuh guna batu, guna pisau, pedang dan sebagainya.

“Tak boleh kaitkan benda ni, kalau nak kait macam itu, sukan lain seperti wushu atau mana-mana sukan yang menggunakan senjata itu lebih berbahaya lagi daripada sukan elektronik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian hadiah Perlawanan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile East Coast Championship 2019 di di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) di sini, hari ini.

Jumaat lalu, dunia dikejutkan dengan insiden keganasan oleh seorang lelaki yang melepaskan tembakan hingga mengorbankan 50 jemaah yang sedang menunggu untuk menunaikan solat Jumaat di masjid di tengah Christchurch, New Zealand.

Mohamed Fadzli berkata, bagaimanapun, semua perkara mempunyai aspek negatif dan positif serta tidak terkecuali sukan mobile yang dikaitkan insiden itu.

“Perkara yang berlaku di New Zealand itu adalah keganasan yang tidak boleh diterima manusia apatah lagi semua agama.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, saya tidak bersetuju (kalau PUBG diharamkan) kerana bola sepak pun sesetengahnya berakhir pergaduhan, tetapi lebih banyak mengeratkan persahabatan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Kejohanan E-Sport Eskel, Dr Roy Moheidy Mohd Zain; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohmad Embong; Pengerusi Perlawanan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile East Coast Championship 2019, Datuk Dr Mohd Zain Yusof dan Pengarah PPAK, Roslan Ludin.

Sementara itu, pada perlawanan berkenaan, pemenang tempat pertama bagi kategori solo disandang oleh Muhammad Idham Fitri Abdullah dan berjaya memperoleh wang tunai RM4,000.

Manakala juara tempat pertama kategori berkumpulan milik Nur Ahmad Shahfuan Hanafiah sebagai ketua pasukan menerima wang tunai RM7,000.

Hadiah khas pemain terbaik keseluruhan dimenangi Wan Muhamad Firdaus Wan Ali dengan membawa pulang piala pusingan.