Jangan guna lambang parti ketika salur bantuan kerajaan - PM

Anwar berucap pada Majlis Kenduri Rahmah dan Penyerahan 1,000 Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Tampoi, pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Kenduri Rahmah dan Penyerahan 1,000 Bakul Rahmah di Dataran Taman Dahlia, Tampoi, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik sebaliknya perlu disalurkan atas nama kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu mematuhi etika berkempen dan menghormati peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Etika kempen dan juga penyaluran bantuan kerajaan kita dah pastikan, saya dah bincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya pastikan tidak ada pelanggaran. Kami hormat peraturan yang ditetapkan SPR.

"Seterusnya perkara kedua, ada berbangkit tentang bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat, lambang parti tidak boleh digunakan.

"Ini telah diamalkan Perikatan Nasional (PN) dulu dan ada juga satu dua (isu) yang berlaku dalam Kerajaan Perpaduan dan arahan kita ini tidak boleh. Bantuan kerajaan perlu disalur atas nama kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bersama warga Pulai pada majlis kenduri rakyat di Dataran Taman Dahlia di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fauziah Salleh.

Sebelum itu, Anwar menyempurnakan simbolik menyampaikan bantuan Bakul Rahmah kepada 10 penduduk Taman Dahlia.

Dalam ucapannya, Anwar melahirkan penghargaan kepada usaha bekas Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan Menteri KPDN atas inisiatif memperkenalkan Payung Rahmah yang dapat meringankan beban rakyat.

"Sebagai kerajaan kita fikirkan (inisiatif yang baik untuk rakyat), bukan hendak bergaduh, maki hamun orang,bukan cerca orang bukan gaduh sesama kaum dan parti, tidak.

"Itu amanah yang kita buat. Sebagai contoh Allahyarham Salahuddin sudah lama dalam politik, tetapi apabila beliau pegang jabatan (KPDN) tumpuan kerja laksanakan, amanah, mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat, moga contoh ini dapat diteruskan, kuatkan kerajaan dengan maksud beri khidmat terbaik kepada rakyat," ujarnya

PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos, 5 September pengundian awal dan 9 September hari mengundi untuk kedua-dua PRK itu.

Bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, diumum sbagai calon mewakili PH, bagi PRK Parlimen Pulai dan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman, bagi PRK DUN Simpang Jeram.