525 pelajar, 25 guru positif Covid-19 di Kedah

Pelajar asrama Maktab Mahmud Tobiar, Pendang melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum sekolah itu ditutup tujuh hari apabila 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19. (Gambar kecil: Najmi)
Pelajar asrama Maktab Mahmud Tobiar, Pendang melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum sekolah itu ditutup tujuh hari apabila 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19. (Gambar kecil: Najmi)
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 525 pelajar dan 25 guru disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster pendidikan di negeri ini setakat Ahad.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, ia membabitkan lapan kluster pendidikan menyebabkan 15 buah sekolah di negeri ini telah ditutup bagi mengelak penularan wabak itu.

Menurutnya, sekolah yang terlibat adalah 13 buah sekolah berasrama harian dan dua sekolah menengah harian.

“Setakat ini tiada rekod menunjukkan kes positif kalangan murid sekolah rendah. Manakala guru yang dikesan positif Covid-19 hanya melibatkan dua buah sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran IMPAK SPM 2021 disempurnakan Tengku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah secara maya di Wisma Darul Aman pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad.

Najmi memaklumkan, kadar penularan Covid-19 kalangan pelajar masih terkawal dan ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Ibu bapa tidak perlu risau kerana setiap sekolah telah diminta meningkatkan pengawasan dan prosedur operasi standard (SOP).

"Kebanyakan penularan membabitkan sekolah berasrama yang lebih terbuka namun kita telah mohion sekolah bekenaan pertingkatkan kawalan dan SOP,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sentiasa memantau dan memastikan pihak sekolah mematuhi garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

“Pelajar yang positif Covid-19 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Wawasan di Jitra dan berdekatan mengikut tahap masing-masing.

“Keadaan keseluruhan adalah terkawal, namun kita tidak menolak kemungkinan menutup lagi sekolah bergantung kepada situasi semasa," katanya

Sebelum ini, tiga kluster pendidikan diisytiharkan di negeri ini, iaitu Kluster Dah Sungai Limau melibatkan warga Sekolah Menengah Agama (SMA) Saadah Al-Diniyah Al-Islamiyah di Yan.

Selain itu, Kluster Dah Sungai Kob membabitkan Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Sungai Kob, Karangan di Kulim dan Kluster Dah Padang Halban di SMK Changlun, Kubang Pasu.

Ia selepas tiga kluster, iaitu Kluster Dah Penyarom diisytiharkan di Maktab Mahmud Pendang, diikuti Kluster Dah Teluk Teduri melibatkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling dan Kluster Dah Jalan Pantai di SMK Kota Kuala Muda, Sungai Petani.

Kluster Dah Teratai Jingga merupakan kluster terbaharu Covid-19 yang dikesan di Kedah melibatkan Maktab Mahmud Alor Setar.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozaini memaklumkan, seramai 162 daripada 30,400 guru di negeri ini masih menolak untuk mendapatkan vaksin Covid-19 atas pelbagai faktor antaranya masalah kesihatan selain belum bersedia.

"Guru terbabit masih ke sekolah, namun diasingkan. Mereka tidak mengajar secara bersemuka, sebaliknya diberikan tugasan lain seperti menyediakan modul pembelajaran dan mengajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pada masa sama, kita terus memujuk dan menasihatkan guru berkenaan agar segera mengambil vaksin memandangkan ia antara SOP pendidikan," katanya.