Lonjakan kluster pendidikan, 62 kluster dikesan dalam tempoh seminggu

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekitar 70 peratus atau 62 kluster daripada 89 kluster baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh seminggu (15 Januari hingga 21 Januari 2022) melibatkan institusi pendidikan.

Rekod kluster pendidikan tertinggi dilaporkan pada 19 Januari lalu iaitu 16 daripada 20 kluster baharu yang dikesan. Pada Jumaat (21 Januari), 11 daripada 12 kluster yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah kluster pendidikan, iaitu masing-masing dua (2) di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, WP Kuala Lumpur dan Pahang, sementara satu(1) di Johor.

Sebelas kluster pendidikan turut dilaporkan pada 18 Januari dan 11 kluster pada 20 Januari lalu.

Antara negeri yang melaporkan kluster pendidikan ialah Melaka, melibatkan dua buah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Melaka Tengah (76 kes) dan Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar (11 kes).

Di Sabah, antara kluster pendidikan dikesan iaitu Kluster Jalan Kepayan Lama-Tambunan melibatkan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan dan setakat ini 36 kes positif Covid-19 dikesan. Satu lagi kluster pendidikan yang dilaporkan, Kluster Pandan-Pandan dengan 16 kes positif setakat ini, melibatkan sebuah madrasah di daerah Putatan.

Di Kedah, antara kluster pendidikan yang dilaporkan termasuk Kluster Dah Penyarum (115 kes) dan Kluster Dah Jalan Merbau (52 kes) manakala di Pulau Pinang, Kluster Jalan Sungai Nipah (83 kes).

Sementara itu, Malaysia mencatat sebanyak kes 489 kes import pada Jumaat membabitkan 388 warganegara dan 101 bukan warganegara. Kes import tertinggi setakat ini dilaporkan pada 20 Januari dengan 522 kes, terdiri daripada 426 warganegara dan 96 bukan warganegara.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP KL) terus mencatat kes import tertinggi pada Jumaat sebanyak 190. Kes import tinggi yang lain untuk WP KL adalah pada 20 Januari sebanyak 274 kes, 16 Januari (145 kes), 18 Januari (135 kes) dan 19 Januari (136 kes).

Artikel Berkaitan:

Dengan kes kumulatif sebanyak 2,824,973 kes, Malaysia kini di tangga 22 daripada 222 buah negara/wilayah yang dilanda Pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Kanada (2,882,020 kes) dan Filipina (3,357,083 kes).

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat, daripada 4,046 kes harian baharu, hanya 32 kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; sementara 4,014 kes (99.2 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

KKM meletakkan pesakit Covid-19 yang memerlukan ventilator yang dianggap kritikal di kategori 5. Kategori 4 untuk pesakit yang memerlukan bantuan oksigen dan kategori 3 pula yang menghidap radang paru-paru. Kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Sebanyak 2,804 lagi kes sembuh pesakit Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan kes kumulatif sembuh kini sebanyak 2,750,261 kes (97.4 peratus).

Sementara itu, sebanyak 120 kes di Unit Rawatan Rapi disahkan sebagai Covid-19 setakat 21 Januari dan hanya 49 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt sepanjang tempoh Rangkuman ini masih bawah 1.00, seperti berikut:-

15 Jan (0.99), 16 Jan (1.0), 17 Jan (0.98), 18 Jan (0.99), 19 Jan (1.0) dan 20 Jan (1.0).

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 20 Januari 2022 ialah Wilayah Persekutan Kuala Lumpur (1.13).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perkembangan kes Omicron, VOC dan VOI

Sementara itu, KKM melaporkan pada 18 Januari lalu, untuk tempoh 14 Januari hingga 18 Januari 2022, sebanyak 186 kes baharu varian dikesan dan kesemuanya adalah Varian yang Dibimbangi (Variant of Concern / VOC) iaitu varian Omicron (B.1.1.529)

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian yang Mempunyai Kepentingan (Variant of Interest / VOI) adalah sebanyak 6,432 kes.

Daripada jumlah 6,432 itu, sebanyak 6,412 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 5,726 kes varian Delta, 439 kes varian Omicron, 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Kes VOI pula adalah 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa dan tiga (3) kes varian Eta.