10 Exco Kedah selesai angkat sumpah

Sultan Sallehuddin berkenan merakamkan gambar bersama Muhammad Sanusi (duduk, kiri) dan 10 anggota Exco Kedah yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit pada Isnin.
Sultan Sallehuddin berkenan merakamkan gambar bersama Muhammad Sanusi (duduk, kiri) dan 10 anggota Exco Kedah yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini, pada Isnin.

Daripada 10 Exco berkenaan, enam mewakili Pas termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; tiga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta wakil tunggal daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Majlis menandatangani watikah pelantikan dimulakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali, diikuti Mohd Azam Abdul Samat (ADUN Sungai Limau), Dr Haim Hilman Abdullah (ADUN Jitra) dan Datuk Halimaton Shaadiah Saad (ADUN Bukit Kayu Hitam).

Turut mengangkat sumpah jawatan, ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria, selain Mejar (B) Mansor Zakaria (ADUN Kuala Ketil), Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti), Datuk Mohd Salleh Saidin (ADUN Kubang Rotan).

Dua lagi merupakan ADUN Alor Mengkudu, Muhammad Radhi Mat Din serta ADUN Kulim, Wong Chia Zhen.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta Kerjasama Luar.

Pada 14 Ogos lepas, Muhammad Sanusi yang merupakan ADUN Jeneri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 selepas Sultan Sallehuddin memperkenan pelantikannya bagi penggal baharu 2023.

Barisan kabinet Kedah yang baharu menyaksikan tiga Exco yang dilantik penggal lalu dikekalkan, iaitu Siti Aishah, Halimaton Shaadiah dan Mohamad Yusoff@Munir.

Artikel Berkaitan:

Selebihnya merupakan muka baharu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Tiga Exco sebelum ini yang digugurkan ialah Datuk Dr Mohd Hayati Othman (ADUN Tokai), Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad (ADUN Kupang) serta Datuk Wan Romaini Wan Salim (ADUN Bukit Pinang).

Dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri apabila menang 33 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi, dengan hanya tiga kerusi milik Pakatan Harapan (PH).

Komposisi DUN Kedah kini adalah 21 diwakili Pas, 11 dari Bersatu dan kerusi tunggal diwakili Gerakan. Manakala pembangkang diwakili dua wakil PKR dan seorang dari DAP.


Senarai portfolio Menteri Besar dan Exco Kedah:

1.Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor - Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta Kerjasama Luar

2.Datuk Siti Aishah Ghazali - Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan

3.Mohd Azam Abdul Samat - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan

4.Dr Haim Hilman Abdullah - Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi

5.Datuk Halimaton Shaadiah Saad - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat serta Perpaduan

6.Mohamad Yusoff Zakaria - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar

7.Mejar (B) Mansor Zakaria - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan

8.Dzowahir Ab Ghani - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan

9.Datuk Mohd Salleh Saidin - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan

10.Muhammad Radhi Mat Din - Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan

11.Wong Chia Zhen - Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam serta NGO