Radhi terkejut dilantik Exco Kedah, akan buat yang terbaik

Mohamad Radhi memegang portfolio Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah.
Mohamad Radhi memegang portfolio Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Dilantik sebagai salah seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah menjadi satu kejutan buat bekas pemain bola sepak Kedah, Mohamad Radhi Mat Din, 58.

Beliau pada pilihan raya negeri (PRN) baru- baru ini berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu diberi tanggungjawab memegang portfolio Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri Kedah.

Mohamad Radhi yang bersara dari dunia bola sepak pada 2013 berkata, beliau baru sahaja cuba menyesuaikan diri sebagai Ahli DUN dan secara tiba-tiba perlu juga menggalas tanggungjawab sebagai Exco.

"Sebelum ini ada saya dengar ura-ura orang kata kalau Exco sukan ni Radhi Mat Din ada, tapi saya tak lah jangka ia akan jadi kenyataan sebab ramai lagi ADUN lain yang lebih senior dan berpengalaman.

Mohamad Radhi (kiri) dibantu oleh salah seorang pegawainya, Khairuddin Md Isa di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.
Mohamad Radhi (kiri) dibantu oleh salah seorang pegawainya, Khairuddin Md Isa di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

"Saya masih cuba menyesuaikan jadual harian saya sebagai seorang ADUN dan Exco, baru nak sesuaikan diri berada di pejabat, sebelum ini kan duduk di padang saja. Tetapi, Alhamdulillah saya diberi pegawai yang berpengalaman dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

"Bagaimanapun bila sudah diberi tanggungjawab ini, saya terima dengan hati terbuka dan Insya-ALLAH saya akan cuba buat yang terbaik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri tidak sealiran dengan kerajaan Pusat, namun beliau akan memastikan hubungan antara dua pihak ini berjalan dengan baik dan erat untuk kebaikan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"MB (Menteri besar, Muhammad Sanusi Md Nor) pun menyeru agar semua Exco ada hubungan baik dengan kerajaan Pusat.

"Lepas pilihan raya, bukan kira parti, kita kira rakyat. Tak timbul isu sekatan atau larangan untuk berbaik dengan kerajaan Persekutuan. Tambah sukan ni universal tak kira parti, sama juga seperti harga barang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, Mohamad Radhi adalah satu-satunya bekas pemain bola sepak Kedah yang menjawat jawatan Exco negeri.

"Portfolio yang dipegang beliau iaitu sukan sangat dekat dengannya, sangat sesuai. Jadi saya harap pengalaman yang ada pada beliau dalam dunia sukan sebelum ini dapat digunakan sebaiknya untuk memajukan sukan di Kedah," katanya.

Pada Isnin lalu, Mohamad Radhi bersama sembilan lagi Exco Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit.