AMK gesa Akta SPRM dipinda

Akmal (tiga,kiri) bersama Jimmy (dua, kiri) ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Khamis
Akmal (tiga,kiri) bersama Jimmy (dua, kiri) ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan untuk membuat pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 bagi menambah baik isu berkaitan integriti dalam agensi berkenaan.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu bagi membolehkan kaedah perundangan baharu dibuat selepas akta sedia ada dilihat gagal memantau isu dalaman yang berlaku dalam agensi berkenaan.

“AMK berpendapat sudah tiba masa untuk kita tambah baik akta ini untuk mengelak kes-kes integriti yang menjadi pertikaian sekali gus melemahkan kedudukan SPRM itu sendiri.

“Maka sebab itu pindaan perlu dibuat terhadap Akta SPRM sendiri dan sebagai permulaan kita akan masukkan dalam memorandum rakyat yang akan diserahkan semasa Dewan Rakyat pada Khamis depan.

“Memorandum ini akan memohon kuasa untuk memantau SPRM atau kuasa melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bukan hanya berdasarkan nasihat daripada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse selaku peguam kepada Akmal.

Sebelum ini, media melaporkan Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis bagi siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu susulan perhimpunan dan demo yang dianjurkan AMK bagi menggesa agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berundur daripada jawatannya sebagai pegawai tertinggi agensi berkenaan susulan kontroversi pemilikan saham.

Akmal berkata, gesaan pindaan akta itu juga bagi membolehkan negara mempunyai agensi kerajaan yang bersih sekali gus membolehkan proses semak dan imbang melibatkan pelbagai pihak dibuat.

“Di bawah akta ini, beberapa jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk memantau SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang kita lihat kini, ia sudah pun gagal.

“Kita lihat isu dalam integriti ini sudah berlaku yang mana SPRM sudah melemahkan badan berkenaan, kerana siasatan dalaman hanya dibuat antara mereka,” katanya.