X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

'Ada masalah besar dalam sistem, segerakan reformasi SPRM'

Hussamuddin Yaacub
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pasukan Rasuah Busters menuntut reformasi struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan segera bagi menjamin kredibiliti dan integriti kerajaan.

Tuntutan tersebut dibuat bersama enam rakan gabungan berkenaan iaitu Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Transparency International Malaysia (TI-M), Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Undi18 dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, reformasi wajar dilakukan demi fokus lebih besar iaitu membersihkan sistem sedia bukan hanya memberi tumpuan terhadap kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sedang hangat ketika ini.

"Kami mengambil kesempatan menjadikan kes tuduhan ini sebagai momentum untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kalaulah badan yang menangani rasuah pun boleh timbul perkara ini, maknanya ada masalah besar dalam sistem. Jadi kita mahu lihat seluruh sistem dibersihkan.

"Kita perlu fokus masalah lebih besar kerana jika fokus satu kes sahaja, masalah sama boleh berulang," katanya pada sidang akhbar program 'Rasuah Busters: Solusi Transformasi SPRM' di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pihaknya percaya cadangan tersebut adalah berkait dengan kesinambungan tuntutan supaya SPRM dijadikan badan bebas seperti dinyatakan #RasuahBusters pada 11 September lalu.

Dalam isu membabitkan Azam, siasatan bebas wajar dilaksanakan oleh pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan SPRM bagi memastikan keadilan dalam isu-isu dibangkitkan.

"Siasatan bebas perlu dibuat dalam isu saham yang dibeli, adakah diisytiharkan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Selain itu, sama ada status benefisial pemilikan saham telah diisytiharkan kepada Suruhanjaya Sekuriti di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

"Sekiranya krisis yang dihadapi tidak ditangani secara telus menimbulkan kebimbangan bahawa SPRM tidak dapat menjalankan fungsi hakikinya," jelas beliau.

Pada sidang akhbar sama, cadangan pembaharuan yang dikemukakan Badan Peguam Malaysia, C4, Ideas, TI–M dan Rangkaian Rakyat untuk Better Malaysia (CNBM) pada tahun 2015 turut diulangi semula.

Ia termasuk mewujudkan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (SBPR) iaitu sebuah suruhanjaya yang diberi mandat oleh perlembagaan, tidak di dalam kawalan dan pengaruh eksekutif.

Badan ini akan melaporkan kepada Parlimen dan memberikan pengawasan terhadap agensi siasatan yang dinamakan semula sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Selain itu, memastikan kebebasan Pesuruhjaya yang berkhidmat dengan suruhanjaya tersebut dan menjamin tempoh perkhidmatan Pengerusi dan Pesuruhjaya badan berkenaan.

Gerakan itu juga menuntut Akta SPRM 2009, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 dipinda selain mengguna pakai Undang-undang Kebebasan Maklumat dan Pengisytiharan Aset.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!