[VIDEO] AMK gesa siasat pengakuan Azam Baki

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama penyokong selepas selesai membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama penyokong selepas selesai membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia digesa menjalankan siasatan terhadap pengakuan dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaunnya pada 2015.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pengakuan Azam itu menimbulkan keraguan dan mendatangkan kecurigaan yang serius kerana berpotensi melanggar peruntukan Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang mewajibkan Akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dibuka atas nama sendiri.

"Wang dalam akaun saham yang dikatakan bukan miliknya menimbulkan keraguan daripada mana datangnya sumber walaupun dikatakan milik adik beliau.

"Malah transaksi tidak jelas perlu diteliti sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang lain yang boleh membawa kepada potensi salah laku lain seperti kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Akmal sebelum itu mewakili AMK membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama beberapa Ahli Parlimen PKR susulan penjelasan Azam berhubung saham bernilai jutaan ringgit atas namanya yang dibeli adiknya, Nasir Baki dengan menggunakan akaun miliknya.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, penjelasan tersebut menimbulkan syak wasangka terhadap pematuhan pemilikan dan pengisytiharan harta oleh pegawai awam dengan syarat ditetapkan serta mendapat kebenaran pegawai atasan.

"Saya merayu supaya pihak polis menjalankan siasatan penuh terhadap beliau kerana pengakuan itu meragukan dan menggugat kepercayaan masyarakat terhadap SPRM yang sepatutnya menjadi institusi yang membanteras rasuah," katanya.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pada sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.



Artikel Berkaitan:

Hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki, justeru LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.

Azam pada sidang akhbar sama dilaporkan berkata, tindakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.