Azam Baki saman Lalitha RM10 juta

Azam Baki- Foto Bernama
Azam Baki- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah RM10 juta di Mahkamah Tinggi di sini terhadap bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam.

Menerusi kenyataan media peguam Tan Sri Azam Baki, Megat Abdul Munir berkata, saman itu dibuat berikutan surat tuntutan yang dikeluarkan pada 6 Januari lalu tidak mendapat sebarang respons daripada wanita tersebut berhubung artikel ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’.

Azam selaku plaintif turut menuntut perintah mahkamah supaya Lalitha memadam kenyataan atau artikel berkenaan dalam masa tiga hari dari tarikh penghakiman serta permohonan maaf secara terbuka.

Beliau menegaskan, tajuk artikel tersebut adalah sensasi, bersifat skandal, menjengkelkan dan menjelekkan.

“Ini kerana artikel tersebut telah didrafkan, diterbitkan dan diterbitkan semula dengan niat jahat (malice and mala fide) bagi memberikan kesan dan gambaran yang amat buruk kepada pembaca.

“Dalam erti kata lain, kenyataan fitnah artikel tersebut diterbit dan diterbitkan semula tanpa membuat sebarang pengesahan fakta secara terus atau memberi peluang kepada plaintif untuk mengemukakan maklum balas terlebih dahulu,” katanya.

Menerusi artikel tersebut, plaintif mendakwa Lalitha selaku defendan, memfitnahnya dengan membuat kesimpulan bahawa plaintif adalah seorang penjawat awam yang korup.

Ia juga katanya, mendakwa plaintif menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM bagi tujuan kepentingan sendiri dan atau adik-beradiknya.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Lalitha yang menerbit dan menerbitkan semula kenyataan media peguam defendan tersebut katanya, merupakan cubaan untuk membuatkan plaintif dibicarakan melalui media dan memenangi persepsi orang awam.

Lalitha sebelum ini mendakwa Azam mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham beberapa syarikat mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, Azam dalam sidang akhbar khas memaklumkan saham itu milik adiknya yang dibeli menggunakan akaunnya pada 2015.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang juga memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.