X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Siasatan dakwaan salah laku Azam Baki masih terbuka: Abu Zahar

Abu Zahar Ujang ketika sidang media khas di Putrajaya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Siasatan dakwaan salah laku terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki masih terbuka untuk diteruskan oleh mana-mana agensi yang mempunyai kuasa, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Beliau berkata, LPPR tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut terhadap Azam, malah ia digalakkan atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi mengikut lunas undang-undang.

“Seperti dinyatakan dalam kenyataan media bertulis pada 5 Januari 2022, siasatan berkaitan ‘alegasi salah laku’ Ketua Pesuruhjaya SPRM masih terbuka untuk diteruskan di atas pendapat dan seliaan Pejabat Peguam Negara.

"Pandangan dan cadangan LPPR pada 5 Januari 2022 tidak diniatkan mahupun dihasratkan untuk menghalang satu siasatan menyeluruh oleh mana-mana agensi kerajaan yang berkuasa dan bebas untuk melakukan siasatan rasmi berkaitan 'alegasi salah laku' terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Walau apapun, saya sebagai Pengerusi LPPR sememangnya sedar dan tahu bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Abu Zahar menjelaskan, LPPR cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan tentang cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

Beliau dalam pada itu menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR sekiranya kenyataan dikeluarkan sebelum ini menjatuhkan nama baik SPRM.

“Sukacita saya menegaskan bahawa saya bersedia untuk mana-mana pihak atau organisasi menyiasat saya pada bila-bila masa,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat dan pada 5 Januari lepas, Azam dalam sidang media menafikan tuduhan mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam berkata, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya yang menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli oleh adiknya itu juga tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

Dalam sidang media berasingan hari yang sama, Abu Zahar menyatakan LPPR, satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mendapati, tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Mengenai kenyataan enam ahli LPPR, Abu Zahar juga berasa kesal terhadap kenyataan dikeluarkan mereka dan percaya tindakan itu dilakukan untuk menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari lepas.

“Saya percaya (kenyataan itu) adalah dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak dan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, beliau dan enam ahli LPPR itu mempunyai perhubungan yang baik sejak dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa Penasihat SPRM mengikut Peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

Beliau menjelaskan, satu pertemuan tertutup antara ahli LPPR dijadualkan berlangsung pada Selasa di Pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi bagi menyelesaikan beberapa isu.

“Tiba-tiba pada tarikh 8 Januari 2022, saya dapati kesemua enam ahli-ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media,” katanya.

Pada 8 Januari lepas, enam anggota LPPR memaklumkan bahawa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Abu Zahar pada Rabu berhubung kontroversi melibatkan Azam itu, tidak menggambarkan pandangan sebenar mereka.

Dalam kenyataan yang ditandatangani bersama, mereka berkata, kenyataan Abu Zahar dalam sidang media itu, termasuk kenyataan beliau bahawa tiada perbuatan jenayah dilakukan atau berlaku konflik kepentingan dalam kes itu, adalah pandangan peribadi pengerusi LPPR itu semata-mata.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Tan Sri Ismail Omar; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Seri Akhbar Satar; Datuk Dr Hamzah Kassim; Datuk David Chua Kok Tee; dan Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

LPPR diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan mereka yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!