X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Pelantikan Azam Baki ikut Akta SPRM

Tan Sri Azam Baki
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilakukan secara teratur mengikut peraturan dan kaedah yang ditetapkan dalam perkhidmatan awam.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad menjelaskan, pelantikan Azam adalah mengikut peruntukan Seksyen 5 Akta SPRM 2009.

Di bawah seksyen tersebut, katanya, Ketua Pengarah SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Perdana Menteri pula sepertimana dalam pelantikan mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang lain, biasanya menerima syor daripada Ketua Setiausaha Negara atau mana-mana pihak yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Syor ini diangkat kepada Perdana Menteri dalam bentuk kertas cadangan pelantikan pegawai yang mana di dalamnya terdapat laporan mengenai kelayakan pegawai dan justifikasi pelantikan," kata Marzuki dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said sama ada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu melakukan semakan latar belakang Azam sebelum melantiknya ke jawatan tersebut.

Mengulas lanjut Marzuki berkata, terdapat proses tertentu dalam perkhidmatan awam yang menentukan kelayakan seseorang pegawai untuk dilantik memegang sesuatu jawatan, termasuk tapisan keselamatan dan keutuhan oleh pelbagai agensi dari semasa ke semasa.

"Bagi pegawai yang sedang berkhidmat pula, mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan dan syarat termasuk pengisytiharan harta.

"Ada borang tertentu yang perlu diisi dan kaedah tertentu yang perlu dipatuhi oleh seorang pegawai yang sedang berkhidmat dalam mengisytiharkan harta masing-masing.

"Tan Sri Azam Baki adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya.

"Saya percaya sebagai pegawai tinggi kerajaan yang sedang dalam perkhidmatan, beliau tertakluk kepada semua syarat dan proses ini sebelum dan selepas pelantikan dibuat," katanya.

Justeru beliau menegaskan, tidak timbul soal sama ada Muhyiddin membuat semakan latar belakang pegawai sebelum pelantikan dibuat.

Katanya, sebarang isu yang timbul selepas pelantikan perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menerusi Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang menjelaskan, tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada tahun 2015.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!