Isu dakwaan sogokan: Aswa pertikai tindakan Azam Baki

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Wan Azliana Wan Adnan.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Wan Azliana Wan Adnan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) mempersoalkan tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang memberi kenyataan pramatang sebelum menyiasat dengan lebih mendalam.

Ia berhubung kenyataan beliau mengenai sogokan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengumumkan peruntukan kepada tiga persatuan belia di Terengganu pada Jumaat lalu, disifatkan tidak menjadi satu kesalahan rasuah.

Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, kenyataan dibuat Azam perlu dilihat bebas dan tidak memihak kepada sesiapa, lebih-lebih lagi berkaitan dakwaan sogokan.

“Saya terkejut kerana beliau (Azam) sudah membuat keputusan tanpa siasatan, sepatutnya siasat dulu, ambil keterangan, baru buat keputusan.

“Bila keputusan pramatang sudah dibuat sebegitu, nampak seolah-olah berat sebelah kerana ayat yang Zahid sebut itu jelas rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan daripada Azam Baki mengenai pengumuman peruntukan dibuat Presiden UMNO itu kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Majlis Belia Malaysia Terengganu dan kelab bermotosikal negeri berkenaan, bukanlah satu bentuk rasuah.

Jelas Azam, pihak SPRM melihat pemberian tersebut sebagai inisiatif yang wajar dilaksanakan untuk rakyat daripada kementerian di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Wan Azliana turut menggesa supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen agar badan penguat kuasa anti rasuah itu boleh menjalankan tugas tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Tambahnya, suruhanjaya terbabit perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas secara bebas, tidak terpengaruh atau terlibat dengan campur tangan mana-mana pihak seperti kuasa eksekutif atau pengaruh politik.

“Biar pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ditentukan oleh Parlimen,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantuan belia: Zahid selar tuduhan Syed Saddiq

'Ini adalah sogokan' - KJ

'Pemberian geran inisiatif kerajaan, tiada unsur rasuah' - Azam Baki

Ahmad Zahid langgar larangan 3C - Bersih