Sanusi kini berdepan dua kes mahkamah, tiga saman fitnah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini terpaksa berdepan dengan beberapa kes di mahkamah dan juga tuntutan saman.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini terpaksa berdepan dengan beberapa kes di mahkamah dan juga tuntutan saman.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini terpaksa berdepan dengan beberapa kes di mahkamah dan juga tuntutan saman.

Pada 17 Julai lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa didapati melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Terbaharu, Sanusi sekali lagi akan berdepan tindakan undang-undang daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor pada Jumaat berkata, tindakan samannya itu berkaitan ucapan fitnah Muhammad Sanusi pada Majlis Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra di Kedah.

Sanusi mendakwa Amirudin turut terlibat dalam skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

Ekoran itu, Berjaya Land turut membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan Sanusi yang didakwa dibuat secara 'melulu dan berniat jahat' berkait syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Syed Ali Shahul Hameed berkata, pihak syarikat secara kategorikal dan tegas menafikan semua tuduhan tidak berasas ketika Sanusi berucap dalam ceramah, pada 2 Ogos di Kedah.

Sebelum itu, pada 13 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Ahli Parlimen Tambun itu dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun'.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 Jun lalu mengarahkan Anwar dan Sanusi mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 26 Julai lepas, berkait saman fitnah berkenaan.

Hujahan bertulis tersebut berhubung bantahan Anwar terhadap permohonan Sanusi supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan berkaitan pengampunan yang diberikan kepada Anwar lima tahun lalu.

Pada 9 Oktober 2019 pula, Sanusi disaman bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ekoran hantaran yang dibuat oleh Pengerusi PN Kedah itu yang mengaitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019, yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Pada 3 April lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Sanusi, membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Mahfuz berhubung saman fitnah tersebut.