Siasatan badan bebas perlu tentukan integriti Azam Baki

Syed Mohd Johan Rizal (dua, kanan) bersama Mohd Fadzil (dua, kiri) dan sebahagian ahli Pemuda UMNO Kedah menunjukkan laporan polis berkaitan isu Azam Baki yang dibuat di IPD Kota Setar.
Syed Mohd Johan Rizal (dua, kanan) bersama Mohd Fadzil (dua, kiri) dan sebahagian ahli Pemuda UMNO Kedah menunjukkan laporan polis berkaitan isu Azam Baki yang dibuat di IPD Kota Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO mahu siasatan terperinci berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijalankan oleh sebuah badan bebas.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri dan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkifli dalam kenyataan bersama berkata, ia kerana kredibiliti, integriti dan ketelusan Azam perlu ditentukan semula, sama ada beliau masih benar-benar layak menyandang jawatan nombor satu badan itu.

Menurut mereka, siasatan oleh badan bebas itu penting memandangkan beberapa pihak dilihat cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan mempolitikkan isu terbabit untuk kepentingan politik, terutama pembangkang.

“Berpegang pada prinsip keadilan, Pemuda UMNO Malaysia beranggapan Azam wajar dilayan secara adil sebagaimana rakyat Malaysia atau penjawat awam lain melalui proses perundangan berprinsipkan ‘innocent until proven guilty’.

“Tanpa prejudis, kami gesa ditubuhkan segera sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaan terbabit,” kata mereka dalam kenyataan bersama pada Isnin selepas membuat laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, pada masa sama, Azam dinasihatkan agar berlapang dada dan berjiwa besar untuk ‘bercuti’ daripada jawatannya sehingga hasil siasatan diperolehi.

“Ia bagi melicinkan dan menjamin ketelusan siasatan yang dijalankan. Kes itu perlu disiasat secara terperinci bagi menentukan sama ada Azam melanggar sebarang undang-undang di bawah Seksyen 25 dan 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) atau sebarang akta berkaitan.

“Kami harap beliau berlapang dada berdepan siasatan sama ada oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau badan bebas yang ditubuhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, percanggahan kenyataan antara dua pihak dalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melibatkan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta enam ahli lain, merupakan sesuatu yang mengejutkan.

“Lebih mengecewakan apabila kenyataan dua pihak itu bersama kenyataan Azam seolah merendah-rendahkan intelektual pemikiran rakyat yang mementingkan integriti dan ketelusan, khususnya berkaitan pengurusan tertinggi seperti SPRM.

“Abu Zahar mungkin terkhilaf dari sudut peranannya sebagai Pengerusi LPPR yang tiada kuasa untuk menentukan salah atau benar tuduhan terhadap Azam, LPPR sepatutnya berperanan sebagai lembaga penasihat agar urus tadbir SPRM berintegriti dan telus,” katanya lagi.

Bagaimanapun, tegas Syed Mohd Johan Rizal, cadangan kumpulan enam Ahli Lembaga LPPR itu dilihat relevan apabila mengesyorkan isu terbabit dirujuk kepada Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Panel Aduan SPRM.

“Namun, beban pembuktian terletak pada siasatan yang dijalankan terhadap Azam bagi meyakinkan pihak berkuasa dan rakyat bahawa tiada unsur jenayah dan salah laku berlaku.

“Berdasarkan pengakuan beliau berkenaan pemilikan dan urusan jual beli saham, SC berhak menyiasat terperinci bagi menentukan sama ada beliau dan adiknya melanggar Akta 25 dan 29A berkenaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda UMNO Malaysia menegaskan, Azam sepatutnya melindungi pemberi maklumat yang merupakan seorang jurnalis, Lalitha Kunaratnam, seperti termaktub dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Azam sepatutnya menunggu siasatan terhadap dirinya selesai, dan jika tiada kesalahan, wajarlah beliau pertimbangkan tindakan perundangan yang telah memburukkan namanya.

“Malangnya, beliau mengambil kesempatan pemerolehan maklumat rahsia atas kapasiti jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, mendedahkan pemberi maklumat yang sewajarnya dilindungi identitinya,” katanya.

Menurutnya, tindakan terbabit hanya menyebabkan rakyat tidak lagi yakin pada keupayaan SPRM.

“Kami juga senada dengan saranan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa SPRM segera diletakkan bawah seliaan Parlimen sebagai agenda pembaharuan pada masa akan datang,” katanya.