Kerajaan jamin siasatan terhadap Azam ikut undang-undang

Wan Junaidi - Foto Bernama
Wan Junaidi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham olehnya dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kes itu kini sedang diteliti oleh dua pihak iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping pandangan daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) akan diambil kira.

“Saya sedar ramai yang menuntut tindakan diambil terhadap Azam. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua bahawa perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh membuat keputusan berhubung perkara ini setelah siasatan selesai dijalankan oleh SC dan PDRM.

“Sementara menunggu siasatan ini selesai, saya harap semua pihak bertenang kerana kami cuba melakukan yang terbaik bagi menyelesaikannya dengan cara yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas mengenai pemilikan saham oleh Azam dalam syarikat senaraian awam, Wan Junaidi menjelaskan, apabila saham itu pertama kali dibeli pada 2016, satu juta saham itu hanya bernilai RM330,000 iaitu kira-kira berharga antara 30 sen dan 33 sen sesaham.

“Dan saiz saham semasa yang dipegangnya pada masa ini terkumpul selama bertahun-tahun.

“Berdasarkan harga awal, ia bukan saham yang mahal untuk diperolehi. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan daripada kita.

“Bagi mereka yang merupakan peniaga pasaran aktif, adalah perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham anda secara beransur-ansur dari semasa ke semasa terutamanya apabila anda melihat potensinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Junaidi menambah, tiada undang-undang atau peraturan yang menghalang penjawat awam daripada memperoleh saham dalam syarikat senaraian awam.

Katanya, menurut Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan, dalam dan luar negara manakala mereka yang memiliki saham dalam syarikat senaraian awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset.

Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata, ia bukan perkara mudah dan perlu dilihat dengan lebih teliti.

“Bagi memastikan SPRM efektif, ia perlu beroperasi secara bebas. Penubuhan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694) memastikan kebebasan suruhanjaya ini dan tidak boleh dikrompomi dalam apa cara sekalipun,” tegasnya.