Kris Dayanti didenda RM80

Kris Dayanti didenda RM80 selepas mengaku bersalah gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan wang berjumlah RM50 di dalam akaun banknya pada Julai tahun lalu.
Kris Dayanti didenda RM80 selepas mengaku bersalah gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan wang berjumlah RM50 di dalam akaun banknya pada Julai tahun lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Isnin memerintahkan seorang pekerja kilang, Kris Dayanti didenda RM80 atas kesalahan gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan wang berjumlah RM50 di dalam akaun banknya pada Julai tahun lalu.

Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu selepas wanita warga Indonesia berusia 22 terbabit mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohd Shazmeer turut memerintahkan Kris Dayanti dipenjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kris Dayanti didakwa gagal memberikan keterangan yang memuaskan berhubung pemilikan wang RM50 di dalam akaun miliknya di Maybank Kuala Kangsar pada jam 4.15 petang, 27 Julai 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu memohon agar dikenakan hukuman ringan atas alasan telah beberapa kali disiasat bagi kes sama yang bersangkut dengan penggunaan akaun bank miliknya.

"Saya datang ke Malaysia nak kerja baik-baik untuk menampung keluarga, jadi saya mohon hukuman serendah-rendahnya kerana banyak laporan ditujukan kepada saya atas kesalahan-kesalahan yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku telah membuat pemindahan wang RM50 ke satu akaun Maybank.

Pemindahan wang itu dibuat selepas menerima ugutan daripada seorang wanita dikenali melalui aplikasi MiChat yang meminta wang sebagai balasan untuk tidak menyebarkan video bogelnya.

Siasatan ke atas akaun kemudiannya mendapati pemilik akaun berkenaan adalah milik tertuduh.