Siasatan isu pemilikan saham Azam Baki sudah bermula - Peguam Negara

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Siasatan telah memulakan siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
"Siasatan telah pun bermula. Sebagai langkah permulaan, kami sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohd Dusuki telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan terbabit pada Jumaat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan yang sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri serta Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara yang sewajarnya.
Media antarabangsa, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang akhbar baru-baru ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Malah, Azam dilaporkan berkata perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lepas telah dilupuskan dalam tahun yang sama.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Khas Siasatan telah memulakan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham
- Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan siasatan sedang berlangsung
- Mohd Dusuki Mokhtar telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan
- Anggota jawatankuasa termasuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
- Azam Baki mendakwa pembelian saham bernilai RM800,000 yang dilakukan secara telus dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
