AADK siasat aduan jarum dadah berselerak berhampiran pantai

Jarum dipercayai digunakan penghisap dadah yang ditemui di pantai belakang UMT menimbulkan risiko kecederaan dan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.
Jarum dipercayai digunakan penghisap dadah yang ditemui di pantai belakang UMT menimbulkan risiko kecederaan dan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.
A
A
A

KUALA NERUS – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu akan menjalankan siasatan susulan aduan penemuan jarum dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah yang ditemui berselerak di kawasan pantai belakang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah berkata, setakat ini kawasan berkenaan tidak pernah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan penagih dadah.

"Selama ini tidak timbul kawasan belakang UMT itu sebagai port penagih. Kebiasaannya lokasi yang dikenal pasti adalah di Seberang Takir atau kawasan tepi sungai.

"Buat masa ini juga tiada aduan sebelum ini melibatkan kawasan tersebut. Ini adalah aduan pertama," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurutnya, berdasarkan gambar yang tular, jarum berkenaan dipercayai digunakan untuk dadah jenis heroin yang lazimnya melibatkan penagih tegar.

Katanya, penggunaan heroin melalui suntikan lebih rumit kerana perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum disedut menggunakan jarum, berbeza dengan trend semasa yang lebih cenderung kepada penggunaan dadah jenis syabu atau 'ais' yang tidak memerlukan jarum.

"Sebab itu kes jangkitan HIV kini semakin berkurangan kerana tidak ramai lagi yang menggunakan jarum," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan pegawai ke lokasi terlibat bagi menjalankan risikan dan pemantauan sebelum tindakan lanjut diambil.

AADK Terengganu juga memaklumkan terdapat lokasi lain yang dikenal pasti sebagai tempat penagih berkumpul termasuk di kawasan Jeti Chendering.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan pergi ke lokasi dan lihat sendiri keadaan di belakang pantai UMT itu. Berdasarkan aduan, kita akan buat risikan dahulu dan jika perlu, tindakan susulan termasuk operasi akan dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, Arzmi menggesa orang awam supaya menyalurkan maklumat secara terus kepada AADK Terengganu bagi memudahkan pihaknya mengesan dan mengambil tindakan segera.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan jarum dipercayai milik penagih dadah yang dibuang di kawasan pantai belakang UMT sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai, terutama risiko kecederaan kepada kanak-kanak serta kemungkinan jangkitan penyakit.

 

 

Ringkasan AI

  • AADK Terengganu siasat aduan jarum dadah di pantai belakang UMT
  • Kawasan tersebut sebelum ini tidak dikenali sebagai lokasi tumpuan penagih
  • Jarum tersebut dipercayai digunakan untuk dadah jenis heroin
  • Penggunaan heroin memerlukan jarum berbeza dengan trend penggunaan syabu
  • AADK akan buat pemantauan dan risikan sebelum tindakan lanjut diambil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!