89 tikaman pada tubuh wanita maut dibunuh suami - Polis

KUALA LUMPUR - Sebanyak 89 kesan tikaman serta luka ditemukan pada badan seorang wanita yang maut dibunuh suaminya dalam kejadian di SPK Damansara, Kepong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat 89 kecederaan di seluruh badan.
"Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan tikaman pada bahagian leher yang menyebabkan kecederaan parah sehingga mengakibatkan kematian.
"Terdapat juga luka mempertahankan diri pada kedua-dua belah tangan mangsa wanita,” katanya selepas ditemui ketika pelancaran Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki iaitu suami mangsa mengalami 10 kecederaan luaran selain tiga luka dalaman pada bahagian leher.
"Mayat kedua-dua individu akan dituntut oleh waris untuk proses pengebumian.
"Kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Isnin untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Terdahulu, seorang individu bertindak menikam isterinya sehingga mati sebelum menikam dirinya dalam kejadian di SPK Damansara.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan seorang lelaki berusia 54 tahun dan wanita berusia 52 tahun terbaring berlumuran darah di atas lantai.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.
Ringkasan AI
- Wanita maut dibunuh suami di SPK Damansara, Kepong dengan 89 kesan tikaman
- Kecederaan parah pada leher menyebabkan kematian
- Mangsa wanita mempunyai luka mempertahankan diri pada kedua belah tangan
- Suami mangsa mengalami 10 kecederaan luaran dan tiga luka dalaman
- Kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

