Sindiket dadah terbesar negara tumpas, rampasan cecah RM244 juta

Mohd Khalid menunjukkan rampasan dadah terbesar menerusi dua operasi berasingan di Sabah dan Selangor.
Mohd Khalid menunjukkan rampasan dadah terbesar menerusi dua operasi berasingan di Sabah dan Selangor.
A
A
A

KOTA KINABALU – Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar negara dengan rampasan dianggarkan bernilai RM244 juta menerusi dua operasi berasingan di sekitar Sabah dan Selangor.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, rampasan itu melibatkan dua operasi yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi lain iaitu Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2, yang menumpaskan pelbagai jenis dadah seberat hampir 3,780 kilogram (kg).

“Dalam Ops Coleoptera yang dilaksanakan pada 20 hingga 21 Januari lalu, ia membabitkan tujuh serbuan utama di Sabah dan Selangor.

“Serbuan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Penampang serta premis logistik di Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Teluk Sepanggar di sini.

“Operasi ini berjaya merampas sebanyak 3,043.5 kg methamphetamine, 102.5 kg ketamin, 90 kg pil ekstasi, 4 kg cecair vape disyaki kokain dan 2.6 kg pil Eramin 5,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.

Antara peralatan dirampas dipercayai antara modus operandi digunakan suspek untuk menyeludup dadah.
Antara peralatan dirampas dipercayai antara modus operandi digunakan suspek untuk menyeludup dadah.

Menurut beliau, rampasan dadah tersebut dipercayai mampu menjejaskan kehidupan kira-kira 16 juta individu sekiranya berjaya menembusi pasaran, sekali gus mengancam keselamatan dan kesejahteraan sosial negara.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata, Ops Bayu 2 dijalankan pada 5 hingga 8 Februari lalu berjaya melaksanakan enam serbuan di Penampang dan Kota Kinabalu.

Artikel Berkaitan:

“Operasi ini membawa kepada rampasan 537.804 kg pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, serbuk ekstasi, pil ekstasi, ketamin dan Eramin 5 dengan nilai dianggarkan sebanyak RM69.66 juta,” katanya.

Mohd Khalid menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan dalam dua operasi melibatkan rampasan dadah di Sabah dan Selangor.
Mohd Khalid menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan dalam dua operasi melibatkan rampasan dadah di Sabah dan Selangor.

Beliau berkata, kedua-dua operasi itu menunjukkan modus operandi sindiket yang menggunakan laluan laut dan premis logistik sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.

“Dalam operasi ini, polis turut menahan beberapa individu berusia antara 20 hingga 40-an serta menyita pelbagai jenis kenderaan dan harta bernilai jutaan ringgit bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Polis menumpaskan sindiket dadah terbesar negara dengan rampasan bernilai RM244 juta di Sabah dan Selangor
  • Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2 merampas hampir 3,780 kilogram pelbagai jenis dadah
  • Serbuan melibatkan lokasi di Penampang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Teluk Sepanggar
  • Rampasan dadah dipercayai dapat menjejaskan kehidupan 16 juta individu
  • Modus operandi sindiket menggunakan laluan laut dan premis logistik untuk penyimpanan dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!