Macau Scam: Lelaki ditahan tipu RM432,725 wang pekerja kilang

No Image Caption
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dengan sindiket Macau Scam sehingga menyebabkan seorang pekerja kilang kerugian RM432,725, di sini baru-baru ini.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

"Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa seorang wanita berusia 57 tahun telah terima panggilan telefon (daripada seorang lelaki) yang mendakwa daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memaklumkan dia mempunyai cukai tertunggak, namun mangsa menafikannya.

"Talian itu kemudiannya disambungkan kononnya kepada seorang pegawai polis sebelum dimaklumkan mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, ia menyebabkan wanita tersebut panik serta mengikut arahan suspek," menurut kenyataan itu.

Katanya, wanita itu telah memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun Agro Bank miliknya dan telah mengisi maklumat Agro Bank ke dalam borang yang diberikan oleh suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berkenaan

Kenyataan itu memaklumkan selepas dua bulan, wanita yang bekerja kilang di Bayan Lepas itu membuat semakan dan mendapati semua wang simpanan sebanyak RM432,725 daripada akaun Agro Bank miliknya telah dipindahkan secara berperingkat ke dalam akaun yang tidak dikenali sebelum bertindak membuat laporan polis.

Katanya, polis menjalankan siasatan lanjut dan risikan sebelum berjaya menahan lelaki terbabit yang bekerja sendiri bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki berumur 35 tahun pada Selasa kerana disyaki menjadi keldai akaun oleh sindiket pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan seorang suri rumah kerugian RM19,530.

Katanya, mangsa berusia 36 tahun itu telah memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19,530 tetapi wang pinjaman tidak diperoleh.

"Dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kedua-dua kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya siasatan lanjut masih dijalankan.