KPDNHEP berjaya selesaikan 98 peratus aduan

Pegawai KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantau berkaitan harga barangan keperluan.
Pegawai KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantau berkaitan harga barangan keperluan.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang berjaya menyelesaikan 98 peratus aduan daripada jumlah keseluruhan 759 aduan telah diterima pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, ia melibatkan pelbagai jenis aduan pengguna di negeri ini.

"Aduan ini diterima daripada pengguna berdasarkan saluran aduan yang telah disediakan oleh KPDNHEP. Jadi pengguna boleh mengemukakan aduan berhubung isu bekalan, harga dan salah laku peniaga yang tidak beretika.

"Sehingga penghujung tahun lalu sebanyak 759 aduan diterima dan daripada jumlah itu 740 aduan telah selesai disiasat serta diambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan atas faktor itu, pihaknya menjalankan penguatkuasaan proaktif secara berterusan.

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 53,478 premis perniagaan di seluruh Pahang telah diperiksa melibatkan semua peringkat rangkaian pengedaran bermula daripada peruncit, pemborong dan pengeluar.

Normaswari menambah, daripada jumlah pemeriksaan ini, sebanyak 658 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan.

"Sebanyak lima kes telah didaftarkan untuk tindakan undang-undang oleh pihak Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, 27 tindakan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pelan pemulihan negara (PPN).

"Jadi, pihak kita telah membuat rampasan bahan kes bernilai RM469,545.57 sepanjang tahun lalu berdasarkan kes-kes yang direkodkan, " ujarnya.

Sementara itu, Normaswari berkata, pihaknya telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM459,750 dan denda mahkamah sebanyak RM20,000 terhadap pesalah.

"Tindakan tegas ini diharap dapat dijadikan pengajaran kepada peniaga yang tidak beretika dan menjadi contoh kepada peniaga-peniaga lain agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

"Kita juga menyeru supaya pengguna bertindak menjadi mata dan telinga pihak Kementerian dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan isu-isu kepenggunaan," katanya.