Pengeluaran KWSP ketika bencana bukan pendekatan bijak

 KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra.
KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika bencana susulan banjir yang melanda negara bukanlah satu pendekatan yang bijak.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, sebaliknya kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri bertanggungjawab menyediakan keperluan asas yang mencukupi serta diagihkan tepat pada masanya untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir.

Menurutnya, skim dan insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah sumber peruntukan dengan sewajarnya.

“Bagaimanapun taksub untuk menggunakan dana semasa KWSP setiap kali bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kalangan kerajaan yang memerintah.

“Justeru, Nube mengalu-alukan ketegasan yang ditunjukkan oleh Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta KWSP yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut simpanan meskipun didesak oleh ahli-ahli politik tertentu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli-ahli politik perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat sepanjang dua tahun lalu akibat wabak Covid-19.

Tambahnya, KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, iSinar dan i-Citra.

“Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum terutamanya sebahagian besar dari kumpulan B40 sangat terdedah kepada kesukaran apabila mereka bersara kelak.

Artikel Berkaitan:

“Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka. Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti yang UMNO wakili.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan yang mencukupi antara lainnya disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad, khususnya membabitkan kekurangan gaji sara hidup yang baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Solomon turut mendakwa, kerajaan yang dipimpin oleh UMNO selama lebih 60 tahun lalu didakwa gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara-negara jiran yang lain, yang sama ada berada di belakang atau seiring dengan kita pada satu masa dulu.

Katanya, bagi rakyat Malaysia, zaman kemakmuran yang tiada tandingan ini menyebabkan kepincangan sosial yang besar.

“Tambahan pula, kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan. Penyakit barah ini telah menafikan bahagian mereka secara saksama daripada kekayaan negara.

“Undang-undang buruh yang tidak adil telah menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh yang adil daripada keuntungan. Pada masa yang sama, GLC dan GLIC tidak menjadi contoh dalam mempromosikan gaji sara hidup yang baik.

“Tambah memburukkan keadaan, penyelewengan dana kedaulatan Malaysia oleh pemimpin tertentu telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang,” jelasnya.

Justeru, Solomon berharap, kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup yang baik bagi pekerja supaya mereka akan mempunyai simpanan yang mencukupi semasa kecemasan serta simpanan persaraan yang sesuai demi perlindungan sosial.

“NUBE menyokong pendirian Datuk Seri Ismail Sabri dan berharap beliau akan tegas mempertahankan keputusannya demi kesejahteraan para pencarum dalam jangka masa panjang.

“NUBE berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja-pekerja dalam kesusahan dalam jangka panjang. Tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial yang teruk dan kita sudah melihat tanda-tanda sedemikian.

“NUBE mengiktiraf beberapa dasar baik yang UMNO perkenalkan semasa mereka menjadi rakan gabungan pemerintah utama, tetapi mendesak agar KWSP membenarkan pengeluaran secara berterusan, walaupun untuk mangsa banjir, adalah tidak berfaedah jika parti itu ingin berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas selepas persembahan buruk pada pilihan raya umum lalu.

“Bagi mendapatkan semula kredibiliti, parti itu sepatutnya menggesa kerajaan menggunakan sumbernya untuk memberi bantuan tulen kepada mangsa banjir dan merapatkan jurang ketidaksamaan yang luas wujud sepanjang 60 tahun pentadbiran mereka,” jelasnya.