Pondok kecil 'mahligai' dua beranak berteduh

Mohamad Zahim berharap ada pihak sudi membantunya membina rumah yang lebih selesa.
Mohamad Zahim berharap ada pihak sudi membantunya membina rumah yang lebih selesa.
A
A
A

NILAI - Dua beranak hanya mampu berteduh di sebuah pondok kecil di Kampung Bukit Kadir di sini sejak tiga bulan lalu selepas tidak mampu membayar sewa rumah.

Berbekalkan wang pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra sebanyak RM1,000, Mohamad Zahim Zamzuri, 29, membina sebuah pondok kecil di tanah milik ibunya untuk tinggal bersama anak Muhammad Zuhairie, 7.

Menurutnya, sebelum itu dia tinggal menyewa di Mantin di sini tetapi berdepan kesukaran untuk membayar sewa selepas majikannya tidak membayar gaji menyebabkan dia mengambil keputusan berhenti kerja.

"Kalau saya ada gaji, tiada masalah nak bayar sewa.

"Apabila kerajaan benarkan pengeluaran i-Citra, saya gunakan duit itu untuk bina pondok kecil buat saya dan anak berteduh," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Anak Jati Nilai, Mohd Shahril Hakimi Hamdan pada Jumaat.

Mohd Shahril Hakimi (dua dari kanan) melawat Mohamad Zahim (kanan).
Mohd Shahril Hakimi (dua dari kanan) melawat Mohamad Zahim (kanan).

Bagaimanapun katanya, dengan bajet kecil, dia hanya mampu membina pondok tanpa bilik, dapur dan tandas.

Oleh itu, dia sangat berharap agar ada mana-mana pihak dapat membantunya membina rumah yang lebih selesa.

Artikel Berkaitan:

"Saya kasihan pada anak sebab dia selalu tanya bila kami nak dapat rumah baru. Pondok kami tinggal ini pun banyak bocor.

Mohamad Zahim menyapu pondok kecilnya sambil diperhatikan anaknya.
Mohamad Zahim menyapu pondok kecilnya sambil diperhatikan anaknya.

"Nak harapkan gaji saya RM50 sehari yang bekerja mengambil upah mengangkat tong gas manalah cukup untuk membina rumah," katanya.

Mohamad Zahim berkata, dia juga mempunyai seorang lagi anak berusia tiga tahun yang dijaga isteri yang kini tinggal di rumah mertua di Pahang.

Katanya, setiap bulan dia akan menghantar duit untuk membeli lampin pakai buang dan susu.

Selain itu, dia juga berharap ada pihak yang sudi menawarkan pekerjaan yang lebih baik buatnya menyara diri dan anak.

Mohamad Zahim menunjukkan baju sekolah kepada anaknya.
Mohamad Zahim menunjukkan baju sekolah kepada anaknya.

Katanya, dia juga tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana agensi kerana tidak tahu prosedur.

"Saya kerja dari jam 8 pagi dan balik pun tak menentu, kadang-kadang sampai malam. Jadi memang tiada masa.

"Soal pertukaran sekolah anak pun saya tak sempat lagi uruskan," katanya