Dua beranak kejar impian bersama di politeknik

Mohamad Yusri (kanan) bersama anak sulungnya, Mohamad Syabil Wafiy yang baharu mendaftar di PSP pada Selasa.
Mohamad Yusri (kanan) bersama anak sulungnya, Mohamad Syabil Wafiy yang baharu mendaftar di PSP pada Selasa.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Seorang bapa tidak menyangka akan menuntut di institusi pendidikan yang sama dengan anaknya di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini bagi menguasai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Mohamad Yusri Kamaruddin, 40, yang kini berada di semester lima di pusat pengajian itu manakala anaknya, Mohamad Syabil Wafiy, 18, pula baharu mendaftarkan diri sebagai penuntut di politeknik itu pada Selasa.

Kedua-dua beranak itu yang mengikuti pengajian peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan elektronik komunikasi ternyata teruja apabila dapat bersama-sama hadir pusat pengajian itu bersama walaupun kelas berbeza.

Mohamad Yusri berkata, dia sentiasa membuka ruang dan pilihan untuk anaknya memilih sendiri jurusan yang diminati tanpa sebarang paksaan.

"Memang tak sangka saya dapat belajar di tempat yang sama, dalam jurusan yang sama dengan anak sulung.

"Memang selama ini saya sentiasa beri galakkan kepadanya dan berkongsi tentang sistem pendidikan dan apa yang beliau peroleh sepanjang berada di PSP termasuk kurikulum yang memenuhi kehendak industri khususnya dalam bidang teknikal,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Rabu.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, beliau sebelum ini pernah mengikuti kursus sijil dalam bidang hotel dan katering di Politeknik Johor Baharu pada 2001 sebelum terpaksa menumpukan kariernya sebagai pemain bola profesional dengan beberapa buah negeri.

Jelasnya, dia kemudiannya bekerja dalam perkhidmatan kerajaan sebelum ditawarkan skim biasiswa untuk penjawat awam untuk menyambung pengajian secara sepenuh masa.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, dengan peluang yang cukup bermakna ini saya boleh membantu Mohamad Syabil Wafiy dalam menguasai subjek dan kemahiran malah kami boleh ulang kaji bersama nanti," tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Syabil Wafiy berkata, sebelum ini permohonan untuk melanjutkan pengajian di PSP gagal namun impiannya tercapai selepas rayuan yang dibuat diluluskan.

"Pada mulanya setelah mendapat keputusan diluluskan saya telahpun menyambung pengajian di salah sebuah Kolej Matrikulasi di Perak, namun kerana minat yang mendalam dan yakin dengan TVET, beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajian di PSP.

“Saya amat teruja kerana dapat belajar sekali dengan ayah di politeknik sama walaupun di semester yang berbeza," katanya lagi.

Beliau berkata, sebagai anak dan pelajar junior di PSP pastinya cabaran baginya untuk mempamerkan prestasi pelajaran yang cemerlang seperti yang telah dicapai oleh ayah sepajang berada di PSP.

Pada sesi pendaftaran semalam, seramai 800 pelajar baharu yang mendaftarkan diri bagi sesi pengajian 1 2023/2024.