Tempelak Mukhriz keliru konsep kerajaan perpaduan

MUHAMMAD SANUSI
MUHAMMAD SANUSI
A
A
A
ALOR SETAR - Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor menempelak Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa tidak memahami konsep kerajaan perpaduan dan kerajaan campuran.

Beliau berkata, kedua-dua istilah itu merujuk kepada dua perkara berbeza, namun Mukhriz didakwa membuat kenyataan mengelirukan berhubung kemungkinan Pas dan UMNO merampas Kedah dan Perak melalui kerajaan perpaduan.

Muhammad Sanusi berkata, kemungkinan Mukhriz akan memahami erti kerajaan perpaduan sekiranya, Amanah, PKR dan DAP melakukan undi tidak percaya terhadap beliau, susulan didakwa terlalu banyak isu ketidakpuasan hati kalangan parti itu termasuk prestasi beliau selaku menteri besar.

“Jika Bersatu minta bantuan UMNO dan Pas untuk bentuk kerajaan negeri, gara-gara undi tidak percaya itu, ia belum lagi sebuah kerajaan perpaduan. Ia kemungkinan hanya kerajaan campuran sahaja. Malah, mungkin menjadi salah satu talian hayat untuk mengelak tertomoih (jatuh) kali kedua,” katanya.

Pada Isnin, ketika di lobi Parlimen, Mukhriz menyindir usaha Pas dan UMNO untuk merampas Kedah dan Perak melalui kerajaan perpaduan. Beliau secara sinis turut mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana memberi laluan kepada Pas untuk ambil alih kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan perpaduan tidak berlaku kalangan pembangkang yang tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan seperti di Kedah.

“Sebaliknya, UMNO dan Pas hanya bekerjasama (ta'awun) sebagai pembangkang yang kuat demi Islam dan Melayu. Ia adalah solidariti pembangkang atas kepentingan Islam dan Melayu yang kian terancam akibat dominasi DAP dalam PH,” katanya.

Menurutnya, sekiranya undi tidak percaya itu berjaya menumbangkan Mukhriz, ia bakal mencatat sejarah tersendiri buat Kedah mahupun negara.

“Ini kerana Mukhriz akan menjadi menteri besar yang tertomoih kali kedua hasil gerakan dalam kerajaannya sendiri. Menteri besar yang jatuh akibat undi tidak percaya tidak lagi boleh dipilih menjawat jawatan itu pada penggal pilihanraya yang sama. Perlu ada gagasan baharu supaya kerajaan dapat dibentuk, ketika itu mungkin wujudnya kerajaan perpaduan,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Muhammad Sanusi berkata, Mukhriz membentuk kerajaan negeri ketika kerusi PH dan pembangkang adalah sama banyak (18-18) dan ini hanya berlaku di Kedah, sehingga seorang ADUN BN menyertai Bersatu.

“Mukhriz harus akui, Pas paling banyak kerusi di Kedah (15). Manakala komponen PH yang paling kukuh adalah PKR dengan tujuh kerusi, Amanah (4), DAP (2). Bersatu hanya lima kerusi sahaja sebelum Adun Guar Chempedak sertai mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perpaduan merujuk kepada model kerajaan tanpa pembangkang, di mana semua parti membentuk kerajaan dan sepakat memperbaiki kerosakan serta kelemahan sistem pentadbiran.

Manakala kerajaan campuran pula bermaksud kerajaan yang dibentuk daripada beberapa parti, namun masih terdapat pembangkang.

“Selepas PRU14, muncul pula model kerajaan baharu, iaitu ‘Kelentongkrasi Government’ (KG) bawah PH. Ia merujuk kepada kerajaan yang gagal melaksanakan janji manifesto, asyik berebut jawatan sesama sendiri, memiliki Kabinet ‘badut’, serta sering menyalahkan pihak lain,” katanya.