Ada 45 saman cecah RM14,000, van Thailand 'kebal' keluar masuk Malaysia - JPJ

Muhammad Kifli menunjukkan sebahagian daripada van persendirian Thailand yang ditahan di Ibu Pejabat JPJ Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Muhammad Kifli menunjukkan sebahagian daripada van persendirian Thailand yang ditahan di Ibu Pejabat JPJ Negeri Kelantan, Kota Bharu pada Rabu. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuan van persendirian Thailand 'kebal' keluar masuk ke Malaysia walaupun mempunyai 45 saman tertunggak mencecah nilaian RM14,000 sejak lima tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemandu van persendirian terbabit bersikap degil dan tidak mempedulikan undang-undang walaupun telah melakukan kesalahan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) dan trafik.

Menurut beliau, maklumat tersebut diperoleh selepas JPJ mengesan van tersebut melalui Ops Tunggak Kenderaan Thailand yang dilaksanakan di beberapa pintu masuk sempadan negara.

"Jumlah saman yang tinggi itu menunjukkan tahap ketidakpatuhan serius pemandu kenderaan asing terhadap undang-undang jalan raya Malaysia.

“Kenderaan ini masih digunakan untuk masuk ke negara ini walaupun mempunyai puluhan saman tertunggak. Ini satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Negeri Kelantan di sini pada Rabu.

Ujar beliau, Ops Tunggak Kenderaan Thailand yang dilaksanakan bermula 16 Januari lalu sehingga Rabu telah menyita sebanyak 80 buah van Thailand.

Tambahnya, kesalahan itu termasuk tiada ICP, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta kegagalan mempamerkan ICP mengikut syarat ditetapkan.

“Di Kota Bharu sahaja, 13 buah van persendirian Thailand ditahan. Semua kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan selagi pemilik atau pemandu tidak menyelesaikan semua saman tertunggak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli memberitahu, JPJ telah berjaya mengutip hasil tertunggak saman kenderaan Thailand berjumlah RM5.59 juta sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pecahan kutipan tersebut mengikut tahun ialah RM203,400 bagi 2023, 2024 (RM1.16 juta) dan 2025, RM4.2 juta.

Ujarnya, ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya dimana tren itu jelas mempamerkan tahap pematuhan yang semakin meningkat hasil tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh serta tegas.

"Dua negeri mencatatkan rekdod tertinggi ialah Kedah sebanyak 37,527 kes diikuti Kelantan, 6,653 kes.

"Kami menasihatkan pemilik dan pemandu kenderaan asing supaya menjelaskan tunggakan saman serta memastikan dokumen perjalanan serta kenderaan berada dalam keadaan sah sebelum memasuki atau bergerak di dalam negara ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Van persendirian Thailand keluar masuk Malaysia walaupun ada 45 saman tertunggak berjumlah RM14,000
  • Pemandu van tersebut tidak mematuhi undang-undang Permit Edaran Antarabangsa dan trafik
  • JPJ telah mengesan dan menyita sebanyak 80 buah van Thailand melalui Ops Tunggak Kenderaan Thailand
  • Semua kenderaan yang disita tidak akan dilepaskan sehingga saman tertunggak diselesaikan
  • JPJ berjaya mengutip hasil tertunggak saman kenderaan Thailand sejumlah RM5.59 juta dari tahun 2023 hingga 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!