Aset Jamal Yunos lebih RM66,000 disita hari ini - Peguam Teresa Kok

Jamal dan Teresa
Jamal dan Teresa
A
A
A

AMPANG - Tindakan penguatkuasaan penyitaan harta bagi mendapatkan baki tertunggak mencecah RM66,061.85 telah dibuat di rumah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang Jaya, di sini pada Rabu.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Berdasarkan kenyataan media, peguam, Datuk Sankara Nair berkata, bayaran itu membabitkan kos guaman yang belum dibayar oleh Jamal, 56.

Ia berhubung kes saman fitnah Jamal yang mendakwa anak guamnya, Teresa, 62, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

“Penguatkuasaan dibuat bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak itu, kerana Jamal gagal mematuhi sepenuhnya penghakiman akhir yang diperoleh Teresa dalam saman berkenaan selaku plaintif.

“Mahkamah sebelum ini menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada plaintif selepas berjaya membuktikan dakwaan fitnah,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dibuat oleh bailif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau berkata, selaras dengan perintah mahkamah, bailif diberi kuasa untuk memasuki premis secara paksa, menggunakan kekerasan yang munasabah sekiranya akses ke premis dinafikan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan dibuat mengikut perintah mahkamah serta tatacara undang-undang yang betul, perkara berkenaan dipantau seorang lagi peguam Teresa iaitu Maniggandan Gopalan.

Artikel Berkaitan:

Sankara menegaskan bahawa tindakan berkenaan merupakan pelaksanaan sah terhadap penghakiman mahkamah yang masih berkuat kuasa di bawah autoriti kehakiman.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Jamal untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.

Sankara memberitahu, Jamal telah menjelaskan bayaran RM300,000.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi itu dan kos RM50,000.

Teresa memfailkan saman itu pada 6 April 2017, mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenainya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) semasa sidang media pada 8 Mac tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menegaskan bahawa kenyataan fitnah itu disebarkan menerusi media cetak dan elektronik termasuk di laman Facebook Jamal.

Teresa menyatakan, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan merupakan seorang yang tidak beretika.

 

 

Ringkasan AI

  • Tindakan penyitaan harta Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang Jaya dibuat untuk mendapatkan baki tertunggak RM66,061.85
  • Writ penyitaan diperoleh oleh Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok terhadap Jamal berhubung kos guaman belum dibayar
  • Kes ini berhubung dengan saman fitnah terhadap Teresa Kok yang didakwa menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor
  • Mahkamah mengganti rugi RM300,000 kepada Teresa selepas berjaya membuktikan dakwaan fitnah
  • Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dibuat oleh bailif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!