PH, BN dibayangi ketakutan angka SD - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi ketika berucap di hadapan 50,000 jentera pilihan raya PN Kedah yang dilancarkan pada malam Sabtu.
Muhammad Sanusi ketika berucap di hadapan 50,000 jentera pilihan raya PN Kedah yang dilancarkan pada malam Sabtu.
A
A
A

YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dibayangi ketakutan berhubung akuan bersumpah (SD) yang didakwa mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, penafian oleh pimpinan kedua-dua parti menyerlahkan lagi sikap mereka yang bimbang sekiranya ia menjadi kenyataan.

“Pasal apa dia takut sangat? Pasal dia tahu kita ada (angka) kan. Kalau dia tak nafi mungkin orang anggap perkara itu sebagai khabar angin saja. Bila dinafikan perkara itu, mengikut petua orang tua katanya benda itu betul,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Kedah sempena Himpunan Jentera Pilihan Raya PN Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta kepimpinan tertinggi PN Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, mereka juga menanti-nantikan saat itu dan berharap ia menjadi kenyataan.

“Saya nak mengesahkan pun tak tahu. Nak nafi pun tak tahu. Saya gembiralah kalau boleh berlaku dan saya menanti-nantikan saat itu. Saya doakan ia menjadi kenyataan,” katanya apabila ditanya mengenai ura-ura wujudnya gerakan untuk menumbangkan kerajaan.

Sebelum ini, Hamzah selaku Ketua Pembangkang membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar pihak yang mendakwa kononnya mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan agar membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi secara berseloroh meminta pihak yang meragui kesahihan ‘angka’ tersebut agar merujuk kepada ahli Parlimen bagi memastikan adakah ia sesuatu yang mustahil.

“Sangat tidak mustahil (untuk berlaku). Janganlah tanya saya (jumlah SD) sebab saya bukan ahli Parlimen.

“Saya tak tahu (berapa angka), tetapi yang mereka sedang bercakap banyak itu lah,” jelasnya lagi.