Kanak-kanak ditinggal dalam kereta tiada kecederaan fizikal – bedah siasat

Keratan laporan Sinar Harian.
Keratan laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN – Hasil bedah siasat terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di Jalan Tunku Hassan, di sini, semalam, mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal atau kerosakan pada organ dalaman.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, proses bedah siasat yang mengambil masa hampir lima jam itu bermula pada jam 2.30 petang di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, turut mendapati kanak-kanak berkenaan negatif Covid-19.

“Punca kematian diklasifikasikan sebagai belum dapat ditentukan buat masa ini. Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 35 tahun yang ditahan semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Beliau berkata, wanita berkenaan bagaimanapun boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan sekiranya perlu, memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Alzafny turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa berwaspada dan memastikan keberadaan anak-anak mereka pada setiap masa, khususnya ketika berada di dalam atau sekitar kenderaan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berkenaan ditemukan meninggal dunia di dalam kereta selepas dipercayai ditinggalkan oleh ibunya yang bekerja di sebuah bank berhampiran pada jam 8 pagi.

Kejadian hanya disedari kira-kira jam 5 petang selepas wanita berkenaan selesai waktu bekerja. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dalam kereta tanpa kecederaan fizikal atau kerosakan organ dalaman
  • Bedah siasat menunjukkan negatif Covid-19 dan punca kematian masih belum dapat ditentukan
  • Ibu kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan
  • Siasatan lanjut masih berjalan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001
  • Peringatan kepada ibu bapa untuk berwaspada dengan keberadaan anak-anak mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!