Lelaki hidap kemurungan hilang selepas keluar rumah sehelai sepinggang

PEKAN – Seorang lelaki yang mengalami masalah kemurungan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Chini Timur 2, di sini, awal pagi Selasa.
Amirul Ahmad, 38, dikatakan tidak pulang ke rumah selepas dilihat keluar dari kediamannya kira-kira jam 12.30 tengah malam tanpa membawa sebarang barangan keperluan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh ibunya pada jam 12.06 tengah hari selepas menyedari ketiadaan anaknya.
“Mangsa mempunyai sejarah mengalami masalah kemurungan sejak tamat persekolahan di Tingkatan Lima dan tidak bercampur dengan orang ramai.
“Ketika keluar rumah, mangsa yang berkepala botak itu dilaporkan memakai baju berwarna biru dan berseluar hitam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau memberitahu, susulan laporan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan sepenuhnya bagi mengesan mangsa.
Menurutnya, pencarian awal telah dilakukan oleh anggota Balai Polis Chini bersama penduduk setempat pada jam 4.30 petang, Selasa, namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
“Hari ini, pada jam 10.30 pagi, Ops SAR telah diaktifkan secara rasmi dengan melibatkan kekuatan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta bantuan penduduk kampung,” ujarnya.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan lokasi atau keberadaan Amirul supaya segera tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Pekan di talian 09-422 1222.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki mengalami masalah kemurungan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Chini Timur 2
- Amirul Ahmad, berusia 38 tahun, tidak pulang selepas dilihat keluar jam 12.30 tengah malam
- Laporan kehilangan dibuat oleh ibunya pada jam 12.06 tengah hari
- Mangsa mempunyai sejarah mengalami masalah kemurungan sejak tamat persekolahan
- Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan dengan bantuan dari APM, JBPM, dan penduduk setempat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

