X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Keputusan kes Najib boleh timbul kekeliruan: Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu yang menangguhkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat boleh menimbulkan kekeliruan seperti mempunyai amalan dua darjat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, ini kerana permohonan sama pernah dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes dihadapinya sebelum ini namun beliau terus dihantar ke penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata, untuk itu wajar mahkamah mengenakan tindakan undang-undang sama terhadap mana-mana individu dan bukan membezakan antara kedua-duanya.

"Tetapi amalan duluan atau 'precedent' dalam kes fitnah kedua Anwar Ibrahim perlu dirujuk. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan Anwar Ibrahim daripada pertuduhan.

"Tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Najib Razak telah mengarah Pendakwa Raya supaya membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

"Mahkamah Rayuan Malaysia kemudiannya telah mengenepikan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Anwar Ibrahim telah memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara ke atasnya kerana beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tetapi permohonan itu ditolak Mahkamah Rayuan dan beliau dihantar terus ke Penjara Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu, Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd selepas menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam belanya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang, maka tidak sepatutnya ada perbezaan antara Najib dengan Anwar.

Justeru sebagai seorang ahli Parlimen yang bersumpah memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan, beliau berharap keputusan sama dikenakan terhadap Najib.

"Jika demikian berlaku, baharulah dunia melihat sistem undang-undang Malaysia sesungguhnya adil," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan rayuan kes SRC Najib dibaca menerusi Zoom

ARTIKEL BERKAITAN:Mahkamah Persekutuan ‘talian hayat’ terakhir

ARTIKEL BERKAITAN:Najib gagal hadir, mahkamah beri pilihan penjara atau zoom

ARTIKEL BERKAITAN:Permohonan Najib hanya lambatkan keputusan rayuan: Pendakwaan

ARTIKEL BERKAITAN:Kronologi kes SRC

ARTIKEL BERKAITAN:Najib kekal bersalah

ARTIKEL BERKAITAN:Terkuburkah karier politik Bossku?


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!