Permohonan Najib hanya lambatkan keputusan rayuan: Pendakwaan

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan bagi kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd menyatakan, permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes itu adalah sekadar melambatkan keputusan rayuan.

Pendakwaan melalui afidavit jawapan yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, semua keterangan sudah dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini.

Dalam afidavit balasan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan itu, beliau berkata, dakwaan Najib bahawa bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bekerjasama dengan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan andaian semata-mata.

Menurutnya, Najib tidak dapat membuktikan bahawa Zeti bekerjasama dengan Jho Low untuk memudahkan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC atau mereka mempunyai hubungan sejak sekian lama.

“Semua itu cuma satu andaian, yang berasaskan maklumat dengar cakap yang diperoleh daripada penerbitan dalam talian.

“Mengenai wang yang berasal daripada 1MDB dan diterima oleh suami Zeti, Tawfiq Ayman serta anak-anaknya, Alif Ayman dan Abdul Aziz serta syarikat yang dikenali sebagai Cutting Edge Industries Ltd atau CEIL, ia membabitkan transaksi 1MDB yang tidak kaitan dengan kes SRC,” katanya.

Budiman berkata, Najib gagal menunjukkan keperluan yang luar biasa bagi memasukkan keterangan baharu sebelum mahkamah rayuan membuat keputusan Rabu ini.

Maka katanya, Najib gagal untuk menunjukkan justifikasi bagi membolehkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicara untuk memasukkan keterangan tambahan malah tidak bermerit.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya beliau berharap, mahkamah akan menolak permohonan Najib dalam notis usul itu.

Untuk rekod, bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan dalam rayuannya ialah membabitkan keterangan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki; pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein.

Pendengaran permohonan untuk memasukkan bukti berkenaan akan didengar Mahkamah Rayuan esok.

Najib merayu sabitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya, selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC.