UMNO Pekan desak siasat kesahihan 'memo dalaman' kes Najib

Mohammad Fakhruddin
Mohammad Fakhruddin
A
A
A

KUANTAN - UMNO Pekan mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat dan menjelaskan kepada umum berkaitan dokumen tular yang didakwa sebagai ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) oleh pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (IPIC) baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jika dokumen yang tular itu sahih, ia jelas menunjukkan berlaku kezaliman terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang dipenjara atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos tahun lalu.

Tegasnya, atas prinsip keadilan, ia bukan sahaja perlu dilakukan tetapi hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan.

"Najib seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara. Maka seharusnya Pejabat Peguam Negara perlu menarik semula kesemua enam pertuduhan berkait kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad)-IPIC ini.

"Siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud elemen salah guna kuasa oleh individu tertentu dalam memastikan pertuduhan diteruskan terhadap beliau (Najib)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu berkata, kes itu boleh menyebabkan implikasi yang sangat besar dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan UAE kerana syarikat IPIC adalah milik kerajaan Dhabi, UAE.

Sebelum itu, Mohammad Fakhruddin memaklumkan UMNO Pekan menyuarakan rasa dukacita dan hiba kerana Najib sudah setahun menjalani hukuman di penjara kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas beliau.

Beliau turut mendedahkan, maklumat mutakhir telah terbocor apabila memo dalam bertarikh 10 September 2019, setebal 12 muka surat daripada pasukan pendakwaan kes 1MDB-IPIC kepada Peguam Negara ketika itu iaitu Tan Sri Tommy Thomas.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes 1MDB-IPIC ini, Najib telah didakwa bersama dengan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri D Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 25 Oktober 2018.

"Namun berdasarkan memo dalaman tersebut jelas menunjukkan bahawa kesemua anggota pasukan pendakwaan yang terdiri daripada tujuh DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan lima pegawai penyiasat telah sebulat suara mengesyorkan bahawa kes ini tidak layak dibawa ke mahkamah kerana tidak cukup bukti untuk disabitkan kesalahan," katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata, umum diketahui bahawa perbicaraan kes 1MDB-IPIC tidak pernah bermula setelah ditangguh berulang kali oleh pihak pendakwaan selama lima tahun sejak 2018.