Najib gagal hadir, mahkamah beri pilihan penjara atau zoom

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa. - Foto Bernama
Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa memberi pilihan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pembelaannya sama ada menghadapi kemungkinan dipenjarakan atau prosiding diadakan secara zoom.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan perkara itu selepas Najib yang diwakili peguam, Harvinder Singh Sidhu memohon agar prosiding tersebut ditangguhkan.

Abdul Karim berkata, mahkamah tidak berpuas hati kerana Najib selaku perayu, seakan tidak berminat untuk hadir dalam prosiding ini.

"Sedangkan beliau hanya kontak kasual dan itupun kontak kasual (Tan Sri) Muhammad Shafee bukannya Muhammad Farhan.

"Saya nak permohonan ini didengar secara dalam talian, jadi mahkamah beri masa kepada pihak-pihak untuk persediaan.

"Gagal berbuat demikian, kami (mahkamah) akan buat keputusan sewajarnya,” kata Hakim Abdul Karim.

Beliau berkata, mahkamah boleh membatalkan ikat jamin yang diberi kepada Najib dan beri tunjuk sebab kepada penjaminnya dan dia perlu menyertakan sebab mengapa wang ikat jamin itu tidak boleh dilucut hak.

Jika ikat jamin dibatalkan, beliau berkata, mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap serta merta terhadap Najib dan dibawa terus ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Pilihan kedua pula katanya, mahkamah boleh mengarahkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu dijalankan secara dalam talian.

Ia adalah mengikut Seksyen 15 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

"Kalau dalam talian, kita selamat, buat prosiding dengan pihak-pihak yang berada di Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis... inikan di Malaysia.

“Agak menghairankan kalau ada pihak kata tak boleh jalankan prosiding secara dalam talian,” katanya.

Semasa prosiding, Harvinder memohon agar mahkamah dapat menangguhkan prosiding kerana kesemua peguam yang terlibat dengan prosiding pada Selasa, dilaporkan menjadi kontak kasual.

Ia katanya, apabila salah seorang peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee didapati positif Covid-19.