KSSB, anak syarikat terima tiga pensijilan ISO

Juruaudit dari SIRIM QAS International Sdn Bhd membuat pemantauan dokumen audit bagi Infrasel di tapak operasi.
Juruaudit dari SIRIM QAS International Sdn Bhd membuat pemantauan dokumen audit bagi Infrasel di tapak operasi.
A
A
A

SHAH ALAM - Rasional pelaksanaan sistem pengurusan berdasarkan piawaian International Organization for Standardization (ISO) terhadap sesebuah entiti perniagaan adalah untuk meningkatkan prestasi, memenuhi keperluan pelanggan serta membina keunggulan industri yang kompetitif.

Pada masa sama, pelaksanaan piawaian tersebut merupakan manifestasi kesungguhan sesebuah entiti perniagaan meyakinkan para pelanggan mereka terhadap kualiti piawaian pengurusan, operasi sehinggalah kepada produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

Dalam mencapai tahap piawaian ISO, sesebuah entiti perniagaan perlu melalui proses sistematik yang meliputi aktiviti audit secara berkala. Audit itu tujuannya adalah untuk menilai tahap pematuhan sesebuah organisasi terhadap keperluan-keperluan piawaian yang ditetapkan oleh badan pensijilan.

Membicarakan mengenai ISO, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bersama-sama dua anak syarikatnya, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) dan Selgem Sdn Bhd (Selgem) telah berjaya mengekalkan pensijilan sedia ada dan memperoleh tiga pensijilan baharu bagi tahun 2024 hingga 2027 daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Kejayaan tersebut merangkumi pengekalan pensijilan ISO 9001:2015 Pengurusan Kualiti (QMS) dan pensijilan baharu, ISO 14001:2015 Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) serta ISO 45001:2018 Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSHMS) oleh KSSB dan Infrasel.

Pada masa sama, KSSB dan Selgem turut berjaya memperoleh pensijilan baharu ISO/IEC 27001:2022 Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS).

Penuhi jangkaan

“Kejayaan kami mengekalkan serta memperoleh tiga pensijilan baharu ISO membuktikan kesediaan dan kemampuan KSSB bersama anak-anak syarikat memenuhi jangkaan pelanggan dalam pengawasan kualiti, alam sekitar, kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja serta meningkatkan tahap keselamatan maklumat sedia ada di samping memaksimumkan mutu perkhidmatan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

“Malah pencapaian ini menzahirkan hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sempena amanat bagi Tahun Baharu 2024 yang mahu anak syarikat milik kerajaan negeri meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan.

“KSSB sentiasa berusaha mencapai aspirasi kerajaan negeri untuk membentuk pembangunan komprehensif menjelang tahun 2025,” jelas Ketua Pengawai Operasi KSSB, Mohamed Fariz Ghazali dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pengurusan KSSB bergambar bersama juruaudit dari SIRIM QAS International Sdn Bhd selepas Mesyuarat Penutup Audit KSSB, baru-baru ini
Pengurusan KSSB bergambar bersama juruaudit dari SIRIM QAS International Sdn Bhd selepas Mesyuarat Penutup Audit KSSB, baru-baru ini

Realitinya, usaha membentuk sebuah organisasi yang kompeten dan berintegriti bukanlah satu perkara yang mudah.

Bagaimanapun, sebagai sebuah entiti milikan kerajaan negeri Selangor, KSSB mampu mengimplementasikan pensijilan-pensijilan tersebut bagi memenuhi keperluan pelanggan di samping meningkatkan daya saingnya setanding dengan syarikat-syarikat ternama di peringkat global.

INFO

ISO 45001:2018 OHSMS (Sistem pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan)

- Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 menetapkan kepentingan syarikat untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja dengan menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan yang selamat serta mematuhi peraturan dan tataamalan industri.

- Pengiktirafan pensijilan ISO 45001:2018 membuktikan komitmen KSSB dalam meningkatkan prestasi kesihatan dan keselamatan pekerjaan dari segi pematuhan undang-undang, pengurusan risiko yang baik serta dapat meningkatkan kecekapan dan reputasi organisasi.

- KSSB dan anak-anak syarikatnya mencapai sasaran 13 juta jam Lost Time Without Injury (LTI) bagi tahun 2023 melalui catatan 13,563,311 jam.

ISO 14001:2015 EMS (Sistem Pengurusan Alam Sekitar)

- Sebagai pemain industri utama di dalam sektor perlombongan dan pengkuarian serta infrastruktur dan kemudahan awam, aktiviti KSSB dan Infrasel berlandaskan piawaian siri ISO 14000 yang membantu syarikat memenuhi tanggungjawab alam sekitar dengan lebih baik dan menjimatkan kos operasi.

- Pengiktirafan ISO 14001:2015 membantu syarikat mengurangkan impak negatif terhadap persekitaran melalui kawalan pengurusan alam sekitar yang lebih efektif dalam memastikan risiko pencemaran dapat dikurangkan untuk kelestarian alam sekitar.

ISO 27001:2022 ISMS (Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat)

- Pengambilalihan Selgem sebagai salah sebuah anak syarikat KSSB berupaya memastikan syarikat mempunyai kepakaran tenaga dalaman khususnya dalam bidang inovasi digital dan teknologi maklumat.

- Pensijilan ISO/IEC 27001:2022 yang diperoleh KSSB dan Selgem adalah penting bagi melindungi kerahsiaan, integriti dan ketersediaan bagi aset dan sistem data serta maklumat penting organisasi.