Tetak ah long: Polis tidak tolak pembabitan kongsi gelap

Nik Ezanee (depan) bersama Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menjalankan siasatan di Sungai Klang, Klang pada Khamis.
Nik Ezanee (depan) bersama Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menjalankan siasatan di Sungai Klang, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam kejadian pembunuhan melibatkan seorang ah long di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, dekat sini pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya berkaitan perkara berkenaan.

"Siasatan mendapati terdapat penglibatan anggota kongsi gelap dalam kejadian ini. Saya nak ingatkan, polis tidak pernah pejam mata terhadap kumpulan kongsi gelap.

"Polis akan melihat peruntukan undang-undang sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Sungai Klang dekat sini pada Khamis.

Nik Ezanee turut memberi amaran untuk memburu kumpulan kongsi gelap yang masih bergiat aktif.

"Kita akan kaji nama-nama kumpulan seperti 24, 18, Five Colors dan beberapa nama kongsi gelap lain. Kita akan ambil tindakan tegas," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan polis membabitkan insiden pembunuhan tersebut sudah hampir selesai.

Menurutnya, seramai 16 suspek dipercayai terlibat dalam kes berkenaan sudah ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati enam daripada 16 individu yang diberkas sebelum ini berada di lokasi kejadian ketika mangsa ditetak.

"Seramai 10 daripada 16 suspek pula diberkas pada malam tadi (Rabu) menerusi tangkapan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, Sri Petaling dan beberapa lokasi di Johor iaitu Ledang dan Muar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai siasatan yang dijalankan di Sungai Klang pada Khamis, beliau berkata, pihaknya dalam usaha mengesan senjata digunakan suspek ketika menetak mangsa yang dipercayai dibuang di sungai berkenaan.

"Terdapat tiga parang yang digunakan untuk menetak mangsa. Senjata itu dipercayai dibuang di sungai ini.

"Kita akan menjalankan operasi mencari barangan kes berkenaan dengan turut dibantu oleh Unit Tindakan Khas (UTK)," jelas beliau.

Nik Ezanee berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan motif kejadian.

"Kita mungkin sudah mempunyai petunjuk berkaitan kejadian ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan," ujar beliau.

Pada Sabtu, seorang lelaki dipercayai ah long maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi di sini.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, lelaki berusia 47 tahun itu bersama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun sedang menuju ke kereta mereka selepas menikmati makanan di sebuah kopitiam.

Mangsa yang dipercayai ditetak dengan parang oleh dua penjenayah sempat melarikan diri di celahan kenderaan sebelum rebah, lalu maut di hadapan sebuah restoran lain.