Borhanuddin sudah letak jawatan, Bersatu anggap kes selesai

Hamzah (tengah) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Isnin.
Hamzah (tengah) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis akan melakukan siasatan terhadap Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim berkaitan komen negatif berbaur perkauman kepada pemain badminton negara, S Kisona.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mengesahkan polis menerima laporan yang dibuat terhadap Borhanuddin dan kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh kerana sudah ada laporan dibuat di beberapa balai polis di seluruh negara, itu (siasatan) tetap kita lakukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya minta maaf, tak niat hina mana-mana kaum' - Borhanuddin

Polis buka kertas siasatan kes ahli politik hina atlet badminton

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

Mengulas lanjut, Hamzah yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu berkata, siasatan dilakukan dalam konteks undang-undang namun dari segi parti, isu tersebut dianggap selesai kerana Borhanuddin sudah memohon maaf secara terbuka dan meletak jawatan.

Jelas beliau, tindakan mengikut emosi itu tidak wajar dijadikan pengajaran.

“Saya rasa dukacita apabila seorang pemimpin terutama pemimpin politik bercakap mengenai perkauman tetapi Alhamdulillah beliau sedar tanggungjawab sebagai pemimpin dan sudah pun meminta maaf serta sanggup meletakkan jawatan daripada parti.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang perbuatan yang boleh menggugat keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara serta kaum.

Artikel Berkaitan:

“Sudah beberapa kali saya mengeluarkan kenyataan mengenai isu perkauman ini. Jadi, saya minta rakyat memahami tanggungjawab masing-masing kerana kita hidup dalam negara berbilang bangsa.

“Seharusnya, semua pihak menghayati konsep Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan benar-benar mahu bersama sebagai satu keluarga,” katanya.

Pada Sabtu, tular di media sosial apabila Borhanuddin memuat naik status bergambar dengan kata-kata berunsur perkauman terhadap Kisona.

Ia susulan kekalahan Kisona di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman.

Bagaimanapun, Borhanuddin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kaum India dan bersedia melepaskan jawatan yang dipegang sebagai Naib Ketua Bersatu bagi menjaga nama baik parti itu.