Muhammad Faiz letak jawatan, umum keluar Bersatu

Muhammad Faiz Na'aman
Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli parti itu berkuat kuasa hari ini.

Dakwa Muhammad Faiz, objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong yang mana ia mahu menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada orang muda dan muka baharu terutama mempunyai latar belakang bersih.

“Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu telah mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini.

“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang pada PRN enam negeri terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, pemilihan calon oleh parti juga bersifat ‘berat sebelah’ kepada ‘kartel’ tertentu dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor.

Rentetan itu, Muhammad Faiz berkata, ia telah menyebabkan pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor hingga berlakunya insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan Saringan Calon.

“Bukan itu sahaja, kelemahan lembaga disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah menyebabkan watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Bersatu untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini.

“Tidak menghairankan jika Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baharu dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian,” ujarnya.

Pada masa sama, Muhammad Faiz memaklumkan bahawa parti berkenaan makin tidak dihormati.

Malah, ujar beliau, ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendahkan oleh rakan parti yang terkuat dalam PN apabila mereka tahu bahawa Bersatu makin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh akibat percaturan politik dalaman.

Beliau turut menzahirkan rasa kecewa kerana Bersatu kurang menekankan mengenai asas ideologi perjuangan dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti hingga ada pihak baharu menyertai parti cuba membawa mentaliti terdahulu.

“Saya ingin membuka lembaran buku baharu kehidupan sempena penghijrahan saya ini tanpa menoleh lagi ke belakang.

“Saya harap kita boleh mengamalkan politik matang berdasarkan rasional, fakta, realiti dan keutamaan dalam membentuk masyarakat yang adil, cerdik menilai serta tidak taksub dengan individu demi membina kembali negara majmuk milik,” katanya.