Calon PRN Terengganu disiasat polis kes pikat, ganggu isteri orang

Mazli bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas meninjau proses mengundi awal bagi PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK). - Foto Bernama
Mazli bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas meninjau proses mengundi awal bagi PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Polis menyiasat seorang calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu atas dakwaan memikat dan mengganggu isteri orang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan itu dijalankan setelah menerima laporan daripada pengadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 4 Ogos lalu.

Menurutnya, siasatan berhubung kes itu kini hampir selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwa Negeri (PPN) dalam tempoh terdekat.

"Pengadu, suspek dan saksi yang terlibat telah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Kita juga akan serahkan kertas siasatan kepada PPN dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Selasa.

Jelas Mazli, perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan selepas menerima arahan daripada PPN.

Sementara itu, Mazli tidak mengulas berkenaan hubungan antara pengadu dan suspek dalam kes tersebut kerana ia masih dalam siasatan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan meliputi kesalahan memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita yang bersuami dengan niat jenayah.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.