X

Kindly register in order to view this article
!

Lagi 5,218 pesakit dijangkiti Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 masih merekodkan angka melebihi 5,000 meskipun negara melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) sejak 1 Jun lalu.

Terbaharu, berdasarkan statistik harian Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 5,218 kes baharu direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhannya, 739,266.

Dua negeri melaporkan kes tertinggi adalah Selangor dengan 1,989 kes dan Negeri Sembilan, 629 kes.

Negeri dan wilayah lain mencatatkan kes baharu di bawah 500, iaitu Kuala Lumpur (469), Sarawak (409), Perak (400), Sabah (528), Johor (243), Kedah (194), Melaka (183), Pahang (111), Labuan (108) dan Kelantan (101).

Sementara itu, dua negeri merekodkan kes baharu dua digit pula melibatkan Pulau Pinang dengan 88 kes, Terengganu (23) manakala masing-masing satu digit di Putrajaya (lapan) dan Perlis (lima).

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 5,211 kes baharu melibatkan rakyat tempatan dan 1,090 warga asing.

"Terdapat juga tujuh kes import membabitkan seorang warga tempatan dan enam bukan warganegara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, KKM merekodkan 61,812 kes aktif di seluruh negara dengan jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pada Isnin adalah 899 orang dan 451 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, kes kematian Covid-19 merekodkan penurunan apabila hanya 57 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya, 5,001 kes.

"Kes kematian pada hari ini melibatkan 15 kes di Selangor, Negeri Sembilan (13), Johor (enam) dan lima (Melaka) manakala tiga kes di Kuala Lumpur dan Perak serta masing-masing dua kematian di Sarawak, Kedah, Pahang dan Kelantan.

"Selain itu Pulau Pinang turut melaporkan satu kes kematian," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 4,754 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah keseluruhan adalah 672,453 kes.

Mengulas mengenai kluster Covid-19, beliau berkata, terdapat 22 lagi pertambahan menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,794 kluster.

"Sebanyak 1,914 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 880 lagi masih aktif," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!