Pelepasan air radioaktif: Malaysia belum muktamad sekatan produk laut Jepun

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

SERDANG - [DIKEMAS KINI] Malaysia belum memuktamadkan untuk menyekat produk laut laut Jepun susulan Tokyo mula melepaskan air radioaktif daripada loji nuklear Fukushima ke laut.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kajian sedang dilakukan bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkaitan alam sekitar berhubung perkara itu.

"Setakat ini belum putuskan (sekatan)," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Show-Tech MARDI 2023 di Taman Ekso Agro Malaysia Serdang (MAEPS) pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan akan dibuat berdasarkan hasil kajian yang sedang dijalankan.

"Banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang telah membuat pendirian dan kita akan bersama dengan mereka sekiranya hasil kajian itu menunjukkan bahaya kepada penduduk," katanya.

Jepun mula melepaskan air radioaktif ke Lautan Pasifik bermula Khamis biar pun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.

China dan Hong Kong telah melakukan sekatan terhadap kawalan import ke atas makanan laut Jepun susulan kebimbangan terhadap tindakan tersebut.

Show-Tech Mardi 2023 berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini memfokuskan enam kluster utama iaitu tanaman, mekanisasi, teknologi makanan, ternakan, pemindahan teknologi dan agrotourism dengan mempamerkan 300 teknologi serta Inovasi hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad berkata, projek rintis tanaman bawang akan diperluas ke seluruh negara mulai 2025 ke arah usaha keterjaminan makanan negara.

"Setakat ini kita bergantung 100 peratus bekalan bawang daripada luar negara jadi pada tahun 2025 bawang akan ditanam secara komersial di ladang-ladang yang akan dikenalpasti," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak meletakkan sasaran terhadap kebergantungan bekalan bawang import.

"Jika kita tanam banyak, dapat kurang banyak lah," katanya.

MARDI telah berjaya menghasilkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2, BAW-3 yang mana Perak dipilih sebagai hub penanaman bawang merah tanah rendah di negara ini.

"Projek rintis ini masih dalam peringkat permulaan dan bergantung kepada lulusan tanah dari kerajaan negeri," katanya.