X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan Johor kecewa hanya 10 peratus penduduk divaksin

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. (Foto: RPO)
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa dengan kadar vaksinasi yang masih perlahan di negeri ini.

Sehingga kini, hanya 10 peratus daripada 3.78 juta populasi di Johor yang telah disuntik vaksin melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Baginda bertitah, kerajaan Pusat perlu mempertingkatkan lagi bekalan serta kadar vaksinasi termasuk di Johor.

“Kadar pemberian vaksin masih rendah dan perlu dipertingkatkan dengan segera. Saya menyeru kerajaan Pusat supaya mempertingkatkan jumlah bekalan vaksin kepada Johor.

“Jentera kerajaan negeri bersedia untuk memberikan 50,000 suntikan sehari dengan sasaran memvaksinasikan 50 peratus populasi Johor dalam tempoh dua bulan,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), di sini pada Rabu.

Sebelum itu, baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Sultan Ibrahim amat bimbang ekoran maklumat yang dipersembahkan mendapati jangkitan di tempat kerja, kawasan perindustrian serta pembinaan menjadi penyumbang utama kepada bilangan kes setiap hari di Johor.

"Keadaan menjadi lebih parah apabila 69 peratus kes baharu adalah jangkitan sporadik dalam masyarakat yang tidak dapat dipastikan puncanya.

“Langkah penyelesaian yang terbaik hanyalah dengan pemberian vaksin kepada semua rakyat dengan cepat dan menyeluruh. Ini telah terbukti berjaya di banyak negara yang telah melaksanakannya,” titah baginda.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!