[DIKEMAS KINI] 6,509 kes positif baharu, 61 kematian

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 6,509 kes baharu positif Covid-19 dengan 61 kematian direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 518,600.

"Terdapat 20 kes import dan 6,489 penularan dalam negara dikesan melibatkan 5,931 rakyat tempatan dan 558 warga asing," katanya.

Menurutnya, sebanyak 60,018 kes aktif di seluruh negara dengan 711 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Manakala seramai 369 pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan," katanya.

Beliau berkata, jumlah kematian itu merupakan yang tertinggi setakat ini menjadikan jumlah kumulatif 2,309 kes.

Menurutnya, kes kematian itu melibatkan 16 kes di Selangor, Johor (11), Melaka (enam), Pulau Pinang (enam), Johor (enam), Kuala Lumpur (lima), Kedah (empat), Sarawak (tiga), Negeri Sembilan (tiga), Pahang (tiga), Terengganu (dua), Perak (satu) dan Labuan (satu).

"Kesemuanya merupakan warga tempatan yang berumur antara 34 hingga 93 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, seramai 3,452 pesakit telah disahkan pulih daripada Covid-19.

"Jumlah kumulatif kes sembuh ialah 456,273 kes iaitu bersamaan dengan 88 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal negeri tertinggi melaporkan kes baharu iaitu 2,049.

"Ia diikuti Sarawak (530), Johor (468), Kuala Lumpur (468), Kelantan (451), Pulau Pinang (384), Kedah (348), Negeri Sembilan (329) dan Melaka (329).

"Sementara Terengganu melaporkan 263 kes, Pahang (257), Sabah (184), Labuan (171), Putrajaya (40) dan Perlis (tujuh)," katanya.

Pada perkembangan sama, KKM telah mengenal pasti 20 kluster baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 2,045 kluster.

"Jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,475 manakala 570 masih aktif.

"Sebanyak lapan kluster tempat kerja dan enam kluster komuniti dikesan KKM selain tiga kluster keagamaan.

"Turut dikenal pasti kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia, kumpulan berisiko tinggi dan import," katanya.